Thursday, December 9, 2010

Anwar fail rayuan


KUALA LUMPUR 8 Dis. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya agar seorang hakim mahkamah tersebut menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes liwatnya.
Notis rayuan berkenaan difailkan melalui firma guaman, Tetuan S.N. Nair & Partners di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini petang ini.
Pada Isnin lalu, Ketua Pembangkang itu gagal dalam percubaan keduanya agar Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes liwat yang dihadapinya.
Hakim tersebut menolak permohonan Anwar dengan alasan berdasarkan transkrip mahkamah, tidak terdapat bahaya berat sebelah pada pihaknya sehingga menyebabkan beliau perlu menarik diri.
Anwar memohon supaya Hakim Mohamad Zabidin menarik diri kerana mendakwa hakim tersebut tidak mematuhi prinsip keputusan Mahkamah Agung pada 1993 semasa menolak permohonannya supaya dibekalkan dengan nota klinikal tiga doktor yang memeriksa pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

No comments:

Post a Comment