Thursday, December 9, 2010

Baru nak kaji

6 perunding kaji sebab bumbung stadium runtuh
Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
2010/12/09

Kerajaan negeri akan pastikan bangunan masih selamat atau tidak 

KUALA TERENGGANU: Enam syarikat perunding dikenal pasti untuk dilantik membuat kajian terperinci terhadap struktur bangunan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berharga RM292 juta di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, sama ada ia terjejas teruk akibat kesan runtuhan bumbung stadium berkenaan tahun lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, berkata ini berikutan kerja pembersihan sisa runtuhan bumbung stadium itu sudah selesai dijalankan syarikat kontraktor, Azimat Berkat Sdn Bhd dan dijangka membuat penyerahan secara rasmi kepada Jabatan Kerja Raya pada 14 Disember ini.“Pelantikan enam perunding itu dijangka bulan depan selepas mengemukakan senarai perunding terbabit kepada kerajaan negeri baru-baru ini. 

“Perunding terbabit akan bertanggungjawab menjalankan kajian secara terperinci berkaitan kekuatan struktur bangunan stadium itu yang sedia ada dan kajian dijangka selesai selewat-lewatnya Mei tahun depan,” katanya selepas mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di sini, semalam. 

Mazlan berkata, semua perunding terbabit akan menjalankan kajian mengikut skop kerja masing-masing yang ditetapkan JKR sebelum mengemukakan keputusan kajian kepada kerajaan negeri. 

Beliau berkata, jika kajian mendapati bahagian struktur bangunan stadium itu tidak selamat, kerajaan negeri akan meneliti alternatif lain sama ada membina baru dengan mengekalkan identiti asal atau menggunakan reka bentuk lain yang difikirkan munasabah oleh kerajaan negeri. 
Bagaimanapun, katanya, keputusan itu bergantung kepada kajian perunding yang juga diminta mengemukakan pelan reka bentuk baru stadium itu. 

“Semuanya bergantung kepada kajian membabitkan kajian teknikal (struktur bumbung) dan kos kewangan. Setakat ini, kita tidak tahu kosnya kerana semua bergantung kepada kajian perunding terbabit yang dikhususkan kepada bahagian struktur stadium dulu,” katanya. 

No comments:

Post a Comment