Thursday, December 9, 2010

Pintu ke air terjun ditutup




2010/12/09

PINTU gerbang ke kawasan air terjun Gunung Pulai ditutup kepada orang awam.
PINTU gerbang ke kawasan air terjun Gunung Pulai ditutup kepada orang awam.
Penduduk terpaksa guna jalan sempit, licin ke kawasan perkelahan Gunung Pulai 

JOHOR BAHRU: Walaupun dikenali ramai sebagai antara air terjun paling indah terdapat di negeri ini, pengunjung yang mengimpikan aktiviti perkelahan mahupun bersantai bersama keluarga di air terjun Gunung Pulai, di sini, seakan ‘dipaksa’ melupakan impian mereka itu.
Air terjun Gunung Pulai antara lain tarikan utama yang terdapat di hutan simpan Gunung Pulai iaitu satu-satunya hutan simpan yang paling dekat dengan daerah Johor Bahru, selain mempunyai kolam buatan manusia untuk aktiviti mandi dan berkelah.Pengunjung mendakwa, mereka tidak memahami tindakan pihak yang terbabit mengunci pintu gerbang menuju ke kawasan air terjun berkenaan walaupun sebelum ini diberitahu pihak berkuasa ia kawasan selamat untuk digunakan pelancong yang berkunjung ke situ. 

Tambah mengelirukan apabila pintu gerbang untuk ke kawasan air terjun berkenaan dikunci sebaik saja ia dibuka kepada orang awam beberapa hari selepas hari pembukaan semula kawasan terbabit pada 2 Februari lalu. 

Ketua Biro Pengaduan Awam Dewan Perdagangan dan Perniagaan Cina Kulai, Khoo Chen Ming, berkata pintu gerbang yang dikunci itu secara tidak langsung menggambarkan sikap ‘suam-suam kuku’ kerajaan negeri dalam mempromosikan kawasan air terjun itu. 

Katanya, keadaan menjadi bertambah buruk apabila kawasan air terjun berkenaan juga tidak menyediakan kemudahan asas termasuk ketiadaan tandas dan bilik air untuk keselesaan pengunjung sekali gus merencatkan aktiviti perkelahan dan bersantai di kawasan itu. 
“Kawasan air terjun berkenaan sepatutnya dibuka kepada orang awam sebagai tanda kerajaan negeri komited dalam usaha mempromosikan aktiviti pelancongan di negeri ini tambahan pula kawasan terbabit baru saja dibuka kepada umum awal tahun ini. 

“Pihak yang terbabit seharusnya memainkan peranan lebih agresif lagi bagi membantu usaha memperkenalkan kawasan air terjun ini bukan hanya kepada penduduk sekitar, malah mereka yang berada di luar negeri Johor juga,” katanya di sini. 

Pengunjung, Peter Chin, 39, berkata beliau kecewa apabila berkunjung ke kawasan itu dan mendapati ia dikunci kepada orang awam sekali gus membantutkan segala aktiviti yang sudah direncana bersama keluarga. 

Katanya, penutupan itu juga secara tidak langsung menyebabkan orang ramai terpaksa menggunakan jalan sempit dan licin yang terletak di sebelah kiri pintu gerbang terbabit untuk sampai ke kawasan air terjun berkenaan. 

Seorang lagi pengunjung dari Taiping, Perak, Airina Hussin, 29, berkata tindakan mengunci pintu gerbang terbabit seakan-akan tidak mahu menerima kehadiran pelancong apatah lagi tiada sebab terperinci dinyatakan kepada pengunjung ke kawasan air terjun itu. 

“Sebelum ini, saya dan beberapa rakan pernah mengunjungi kawasan air terjun ini dan kami juga boleh berkhemah di kaki gunung, namun ia kini seakan tidak lagi menggamit kedatangan pelancong dan semua aktiviti terpaksa ditangguhkan apabila pintu gerbang dikunci,” katanya. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hoo Seong Chang, berkata tindakan mengunci pintu gerbang terbabit dibuat atas faktor keselamatan dan berharap pengunjung lebih bersabar sehingga dibuka semula pada suatu masa yang ditetapkan. 

“Kita sedia maklum mengenai perkara (penguncian pintu gerbang kawasan air terjun) berkenaan dan dalam soal ini kita tidak akan sesekali berkompromi mengenai tahap keselamatan pengunjung yang menjadi keutamaan kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment