Thursday, December 9, 2010

UMNO Bachok agih wang ihsan




2010/12/09

BACHOK: Kepemimpinan UMNO bahagian Bachok mengambil pendekatan mesra rakyat dengan turun sendiri rumah ke rumah untuk mengagih wang ihsan yang disalurkan Kerajaan Pusat kepada 4,674 penerima yang layak sekitar Parlimen itu. 

Timbalan Ketua UMNO bahagian Bachok, Datuk Dr Ilias Hussin, berkata pihaknya mengambil pendekatan itu agar dapat melihat sendiri keadaan hidup setiap rakyat yang dipilih menerima sumbangan terbabit.
Katanya, jika sebelum ini pihaknya hanya menerima senarai nama mereka yang layak, sebaliknya untuk fasa kedua kepemimpinan mengambil keputusan untuk turun sendiri supaya mereka dapat menilai kehidupan rakyat setempat."Dalam masa tiga hari kita berjaya mendekati rakyat yang memerlukan bantuan selain menghayati apa sebenar masalah yang dihadapi mereka. 

"Untuk kali ini kita juga dapat mengagihkan sebanyak RM934,000 kepada keluarga yang berkelayakan berdasarkan kriteria ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas Program Jejak Marhain DUN Jelawat di sini, semalam. 

Beliau yang juga Penyelaras DUN Jelawat berkata, langkah itu juga bukan bermaksud menafikan tugas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan yang dilantik, sebaliknya diajak bersama menghayati masalah rakyat. 

Penerima wang ihsan, Mohd Zain Ahmad, 52, berkata beliau sekeluarga tidak menyangka terpilih dalam senarai penerima wang ihsan petroleum yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat. 
"Saya tidak tahu apa-apa mengenai kehadiran pemimpin UMNO Bahagian Bachok ke rumah saya hari ini (semalam), sehingga diberitahu yang keluarga saya dipilih menerima wang ihsan. 

"Syukur, sekurang-kurangnya ada bantuan yang dapat meringan beban keluarga. Saya amat berbesar hati apabila ada pemimpin sudi bertandang ke rumah saya bertanya khabar masalah dihadapi kami sekeluarga," katanya yang tinggal bersama 15 ahli keluarga. 

Warga emas, Che Kob Jusoh, 80, dari Kampung Telaga Ara berkata kehadiran Dr Ilias sendiri ke rumahnya memang mengejutkan. 

"Saya terkejut tiba-tiba ada orang besar sampai ke bangsal ini. Kebetulan saya sedang berada dekat reban ayam di belakang rumah. 

"Syukurlah, masih ada yang prihatin terhadap nasib kami. Saya cuma minta tolong dengan Datuk Ilias supaya berikhtiar mendapatkan rumah yang lebih selesa untuk saya dan lima cucu," katanya. 

No comments:

Post a Comment