Oleh Halina Mohd Noor dan Adli Shahar
bhnews@bharian.com.my
2010/12/09
SEORANG lelaki memasuki sebuah rumah yang terbiar melalui pintu yang pecah di Flet Kerinchi.
BANGSAR: Kes kecurian bahan logam di Flet Kerinchi di sini, yang kini dalam proses akan dirobohkan semakin menjadi-jadi sehingga membimbangkan 60 keluarga yang belum berpindah.Rumah kosong di rumah pangsa berkenaan seolah-olah menjadi lubuk rezeki penagih dadah apabila mereka mengambil apa saja seperti paip besi, palang besi tingkap, cermin tingkap, wayar, malah batu-bata dan salur najis daripada besi untuk dijual.Tinjauan mendapati kebanyakan bahan logam di kebanyakan unit rumah yang sudah dikosongkan itu hilang, malah paip besi dan wayar yang dipasang di bahagian luar rumah turut dicuri.
Masalah lebih serius berlaku di blok A yang mana sebahagian batu-bata di beranda turut dikopek penagih dadah untuk dijual.
Penduduk, Sharudin Abu Bakar, 25, berkata penduduk yang masih tinggal di rumah pangsa itu terpaksa berhati-hati ketika meninggalkan rumah mereka kerana bimbang menjadi sasaran penagih dadah.
“Kebanyakan rumah yang kosong pasti sudah digeledah penagih dadah dan kini mereka mensasarkan rumah yang masih berpenghuni pula untuk dipecahkan.
“Terbaru kejadian pecah rumah berlaku di rumah pangsa berkenaan menyebabkan beberapa penghuni kehilangan barangan berharga termasuk komputer riba,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sharudin berkata keluarganya yang sudah tinggal di situ sejak 35 tahun lalu, bagaimanapun masih belum membuat keputusan untuk berpindah kerana mendakwa perjanjian yang ditawarkan oleh pemaju masih kabur, walaupun keadaan di kawasan perumahan itu kini semakin menakutkan.
“Kini terdapat kira-kira 60 keluarga yang masih tinggal di sini dan mereka kini berdepan dengan risiko menjadi mangsa penjenayah setiap hari,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Inda, 30, berkata beliau kini dalam proses berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ditawarkan pemaju yang akan membangunkan kawasan berkenaan kerana tidak lagi berasa selamat tinggal di sini.
“Saya tak berasa selamat lagi dan terpaksa memasang palang kayu di semua tingkap di rumah saya kerana bimbang menjadi sasaran penagih dadah.
“Mereka tahu saya akan berpindah ke PPR kerana sering memerhatikan kami sekeluarga ketika berkemas sejak beberapa hari lalu,” katanya.
Beliau berkata, kecurian di sini sememangnya serius sehingga sampai kepada tahap penduduk tidak berani meninggalkan kasut di luar rumah kerana ia pasti akan hilang pada keesokan harinya.
No comments:
Post a Comment