Sunday, March 27, 2011

Bumiputera sendiri harus dipersalah: Rozali



SHAH ALAM -Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saham milik syarikat Bumiputera berkurangan hampir 96 peratus daripada RM54 bilion kepada RM2 bilion disifatkan sesuatu yang membimbangkan.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (Mapem), Tan Sri Rozali Ismail berkata, trend itu menunjukkan kaum Bumiputera kurang berminat untuk merebut peluang-peluang yang ada dalam bidang perniagaan dan pelaburan.

Menurutnya, dalam hal itu, beliau juga berpendapat kaum Bumiputera sendiri harus dipersalahkan kerana hanya melihat sesuatu isu itu dari sudut sempit.

“Disebabkan kita terlalu fokus dalam memperjuangkan bahagian dan hak Bumiputera, kita lupa nilai perjuangan Bumiputera sebenar, mengecap kekayaan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, zaman dan landskap perniagaan berubah dan sekiranya Bumiputera ingin berjaya, mereka harus meneroka serta mencari arah baru dalam perniagaan dan mewujudkan peluang baru dalam abad ke-21 ini.

Katanya, Dewan Perniagaan dan pemegang kepentingan perlu membina semangat persaingan dan bekerjasama dalam kalangan institusi serta industri bagi memastikan pembangunan idea-idea yang baik, berjaya menembusi pasaran dan memberi impak positif untuk masa depan.

Rozali berkata, sesuai dengan keputusan Najib, DPMMS dan Mapem akan mengkaji serta meneliti masalah yang menyebabkan isu pegangan saham Bumiputera jatuh dan seterusnya mencari jalan memastikan pegangan tersebut dipertingkatkan.

No comments:

Post a Comment