Sunday, March 27, 2011

Warna hidup Dr Ma'amor


AMALKAN hidup bermasyarakat. Itulah resipi yang menjadi acuan Datuk Dr Ma'amor Osman, 51, untuk melalui setiap fasa hidup dalam dirinya.
Dari muda sehingga usia yang semakin lanjut, Ma'amor sentiasa mewarnai hidupnya dengan pelbagai aktiviti sosial bersama masyarakat dan caranya adalah melalui pembabitannya bersama persatuan.

Tidak dinafikan sejak di bangku sekolah, beliau aktif persatuan. Selepas menamatkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang kedoktoran, beliau terus aktif berpersatuan dan paling menonjol ialah pembabitannya bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

"Saya rasakan diri ini terlalu kosong jika hanya tertumpu pada karier saja.

"Untuk mengisi kekosongan itu, jalan terbaik adalah melalui penyertaan saya dalam persatuan, dan ia juga banyak memberi manfaat bukan saja pada diri, malah pada masyarakat," katanya.

Menyentuh pembabitannya bersama PPIM, beliau antara pelopor persatuan itu bersama rakannya pada 1996.

Matlamat mereka dalam penubuhan persatuan terbabit adalah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu pengguna berlandaskan syariah dan panduan Islam.

PPIM bukan satu-satunya persatuan disertai Ma'amor, malah beliau terbabit dengan lebih kurang 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam aneka bidang sejak 1996.
Beliau pernah terbabit sebagai Ahli Jawatankuasa Penilaian Perspektif Islam Hadhari, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia, Ahli Majlis Penasihat Pengguna Malaysia, Ahli Dewan Perniagaan Islam Malaysia Selangor dan Ahli Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy).

Di peringkat Kebangsaan, beliau pernah menjadi Ahli Majlis Perundingan Islam di Jabatan Perdana Menteri, Ahli Kumpulan Penasihat Pakar dan Kumpulan Perunding Teknikal Majlis Harga Barang Negara serta Majlis Ekonomi Melayu Malaysia.

Menurut Ma'amor, pembabitannya dalam pelbagai persatuan dan NGO banyak membantunya dalam proses mematangkan diri.

"Dari situlah saya belajar mengenai pelbagai perkara dan ia tidak terbatas dengan karier saja. Saya lantang dalam isu dan hak pengguna Islam, dan ia bukan bidang yang saya pelajari ketika di universiti.

"Paling penting, melalui persatuan inilah saya dapat membentuk diri saya, pada masa sama saya turut mengenali ramai orang, dari peringkat bawah hingga atas," katanya.

Bercakap mengenai cabaran hidup di usia 50-an, bagi beliau, ia adalah klimaks bagi menentukan hala tuju hidup seseorang.

"Ia akan menentukan di mana kedudukan anda nanti, jika masa muda anda tercicir, ia akan menentukan hidup anda kemudian.

"Apapun, sama ada susah dan senang, di usia beginilah kita menjadi matang dan mudah menangani pelbagai cabaran dalam hidup seterusnya," katanya.

Daripada segi pencapaian peribadi, tokoh yang lantang dalam isu membabitkan hak pengguna Islam ini pernah menerima pelbagai anugerah di peringkat nasional dan tempatan, antaranya Anugerah Kepimpinan Kategori Kepenggunaan dari Yayasan Insan Melaka, Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, Anugerah Tokoh Aktivis Masyarakat Maal Hijrah Selangor dan Anugerah Tokoh Penggunaan Kebangsaan Peringkat Kebangsaan.



>PROFIL
NAMA: Datuk Dr Ma'amor Osman
LAHIR: 13 Mei 1960 di Kampung Paku, Alor Gajah, Melaka
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Alam Shah, Kuala Lumpur (Matrikulasi) dan Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (1987)
KARIER: Doktor dan pengamal perubatan profesional
KARIER LAIN: Pengarah Syarikat Inno Scientific And Services Sdn Bhd dan Arena Lagenda Sdn Bhd
PEMBABITAN PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN: Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM); pernah terbabit sebagai Ahli Majlis Perundingan Islam di Jabatan Perdana Menteri (2008); Ahli Jawatankuasa Penilaian Perspektif Islam Hadhari, Institut Kefahaman Islam Malaysia (2008); Ahli Kumpulan Penasihat Pakar dan Kumpulan Perunding Teknikal Majlis Harga Barang Negara (2008); Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (2007); Ahli Majlis Penasihat Pengguna Malaysia (sesi 2002 hingga 2004); menyertai Majlis Permuafakatan Konsumen Indonesia-Malaysia (2003), Majlis Permuafakatan NGO-NGO Malaysia (Mapan - 2003); Majlis Ekonomi Melayu Malaysia (2003); Ahli Dewan Perniagaan Islam Malaysia Selangor (2001) dan Ahli Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy - 2001)
PENGALAMAN: Pernah bertugas sebagai doktor perubatan di Hospital Kuala Lumpur (1986-1989); kemudian menyambung khidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sehingga 1993 dan kini mengendalikan klinik persendirian milik beliau, Klinik Maamor
PENCAPAIAN: Anugerah Kepimpinan Kategori Kepenggunaan dari Yayasan Insan Melaka (2010), Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan (2009), Anugerah Tokoh Aktivis Masyarakat Maal Hijrah Selangor (2008) dan Anugerah Tokoh Penggunaan Kebangsaan Peringkat Kebangsaan (2006).
ISTERI: Datin Rohayah Ab Rahman
ANAK: Mardhiah (25) dan Muhammad Razeen (9)

No comments:

Post a Comment