Sunday, March 27, 2011

Hidup dihimpit kemiskinan



KOTA BHARU - Berada di rumah yang usang dan hampir runtuh bila-bila masa tidak memberi keselesaan apatah lagi terdapat ramai penghuni yang tinggal bersama.

Lebih menyedihkan, ada pula kalangan penghuni di rumah itu masih lagi diselubungi duka apabila si bayi kembar lelaki didapati meninggal dunia akibat mengalami penyakit dan ibu (nenek si kembar) pula hidup dalam gangguan emosi.

Bagi suri rumah, Hamidah Hassan, 35, kemiskinan yang dihadapi tidak mematahkan semangatnya bagi meneruskan hidup dan membesarkan anak-anak yang masih remaja dan bersekolah.

“Bayi kembar saya, Muhammad Danial Wahab mengalami masalah buah pinggang rosak, paru-paru berair dan jangkitan kuman semasa masih dalam kandungan dan semasa lahir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), bayi kembar ini didapati meninggal dunia.

“Sekarang, hanya tinggal adik kembarnya, Muhammad Danish Wahab, 40 hari, yang dilahirkan seberat 2.25 kilogram dan seramai dua anak masih bersekolah daripada tujuh anaknya yang masih ada,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Mas, di sini.

Hamidah berkata, selain mempunyai anak ramai, beliau juga turut memastikan, bapanya, Hassan Othman, 65, yang tidak mampu bekerja akibat mengalami penyakit lelah dan kekejangan saraf kepala, manakala ibunya pula, Mariam Daud, 66, pula hanya berada di kerusi siang dan malam setelah mengalami gangguan emosi.

Menurutnya, dengan hanya bergantung harap kepada pendapatan suami, Wahab Mohd Noor, 47, yang bekerja sebagai pekerja kilang di kilang pakaian terpakai di padang Tembak, Pengkalan Chepa, ia tidak mampu menampung keperluan keluarga.

Sementara itu, Hassan berkata, dia mengalami penyakit lelah setelah kepalanya mengalami kekejangan saraf apabila terkena buah kelapa sawit sejak 20 tahun lalu semasa bekerja mengait kelapa sawit di Pahang.

“Pernah sekali pakcik memperoleh wang bantuan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi setelah daripada itu, saya tidak lagi diberikannya dengan alasan nama tidak ada dalam senarai penerima bantuan,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh ke datang ke kediaman mereka di Lot 93-A, Kampung Tanjung Mas, Jalan Pengkalan Chepa, 15400 Kota Bharu, di sini.

No comments:

Post a Comment