Sunday, March 27, 2011

Pesona Cleopatra Hollywood




LAKONAN Elizabeth Taylor dalam filem Suddenly Last Summer pada 1959 mejadikannya aktres paling menggoda.


LIZ Taylor atau nama sebenarnya, Elizabeth Rosemond Taylor berjaya menawan hati sembilan lelaki.
Dia ialah ratu Hollywood. Haruman kehadirannya dalam bidang seni lakonan berjaya menawan hati semua orang. Memulakan karier lakonan seawal umur 10 tahun pada 1942 menerusi filem There's One Born Every Minute, Liz Taylor membesar sebagai seorang jelitawan Hollywood.
Membintangi hampir 70 buah filem, dunia dikejutkan dengan kematiannya akibat komplikasi jantung pada Rabu lalu. Dia berusia 79 tahun.
Ketika hayatnya, Taylor yang merupakan primadona filem Hollywood pernah berkahwin dengan lapan lelaki termasuk sebanyak dua kali dengan aktor yang pernah dicalonkan sebanyak tujuh kali dalam Anugerah Akademi, Richard Burton.
Pelakon kelahiran London itu berkahwin pada usia 18 tahun dan menjanda pada buat kali pertama pada 1951. Dia berkahwin semula pada 1952 sebelum bercerai lagi pada usia 26 tahun.

ELIZABETH TAYLOR dan suami kelimanya, Richard Burton tiba di Itali untuk penggambaran filem Cleopatra pada 1962.


Mungkin disebabkan pesona yang dimiliki wanita itu tiada tandingan, maka ramai lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya juga bukan calang-calang.
Antaranya, pengasas Hotel Hilton dan juga moyang kepada pelakon Paris Hilton, Conrad Hilton. Ahli politik Republikan, John W. Warner dan penerbit filem terkenal Michael Todd.
Taylor pernah berkahwin dengan aktor kacak, Michael Wilding dan penyanyi, Eddie Fisher.
Selain itu, Taylor juga pernah berkahwin dengan pekerja binaan, Larry Fortensky yang merupakan suami kelapan beliau ketika usia Taylor 59 tahun walaupun Fortensky ketika itu berusia 39 tahun.
Ketika usia Taylor 78 tahun, beliau dilaporkan bertunang dengan Jason Winter, 49. Mengelak berita itu menjadi perbualan hangat, Taylor dikatakan bertunang dengan pemuda itu atas dasar ingin mempunyai teman dalam hidup.
"Saya tidak boleh hanya memiliki cinta, melainkan harus berkahwin," kata Taylor dalam satu kenyataan.
Taylor turut dilaporkan menjalin hubungan asmara dengan pemain legenda bola sepak, penerbit jutawan dan peguam dari Mexico.
Kehidupan cinta Taylor barangkali menerima lebih banyak liputan berbanding kehidupan cinta selebriti Hollywood lain dalam sejarah.
Dalam satu kenyataan Tylor memberitahu, lelaki yang hadir dalam hidupnya bukan diibaratkan seperti hingus yang boleh dibuang begitu sahaja.
"Setiap perceraian yang dilalui, saya ibaratkan ia sebagai satu kematian kecil yang memeritkan," katanya.
Pesona Taylor bukan sekadar pada paras rupanya tetapi dari segi penampilannya.
Taylor sentiasa tampil anggun di khalayak ramai dengan dandanan rambut yang tersusun rapi dan solekan menawan serta memakai barang kemas yang pelbagai.
ELIZABETH TAYLOR bersama suami keempatnya, penyanyi legenda Eddie Fisher.


Peminat Taylor tidak pernah melihat pelakon itu tampil mengenakan pakaian biasa seperti seluar jean mahupun baju-T.
Selebriti terkenal dari Britain, Elton John menyifatkan kematian Elizabeth sebagai kehilangan yang cukup besar.
"Kami kehilangan bintang Hollywood paling berharga," katanya kepada Access Hollywood.
Penyanyi popular, Madonna pula melahirkan rasa sedih atas kehilangan legenda hebat itu.
"Dia merupakan legenda berhati mulia," kata Madonna dalam satu kenyataan.
Penyanyi bersuara lunak, Mariah Carey menerusi Twitter memuji Elizabeth sebagai pelakon legenda yang tiada penganti.

No comments:

Post a Comment