JOHOR BAHRU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri ini membuat laporan polis terhadap tiga individu dikenali sebagai ‘Datuk T’ yang bertanggungjawab menayangkan video lucah kononnya melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan polis berkenaan dibuat oleh Ketua AMK Johor, Mohamad Nazri Ismail yang turut ditemani pemimpin Pakatan Rakyat (PR) negeri ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Pasir Gudang, di sini, 10.55 pagi, semalam.
Mohamad Nazri berkata, tindakan tiga individu bergelar ‘Datuk T’ menayang video lucah itu jelas bertujuan membunuh kerjaya politik dan menggugatkan kredibiliti Anwar malah kenyataan media yang dibuat seolah-olah mendapat restu dari pihak tertentu.
Menurutnya, pengakuan kepada media oleh Datuk Shazryl Eskay Abdullah; bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim, merupakan perancangan jahat begitu tersusun.
“AMK Johor melihat ‘politik kotor dan jijik’ mula berakar di negara ini dengan tujuan membunuh kerjaya politik Anwar di salah sebuah hotel di ibu negara yang didalangi tiga individu bergelar Datuk T.
“Tayangan video lucah ini oleh Datuk T dengan menjemput wartawan sebenarnya agak mustahil apabila pihak berkuasa sendiri tidak mendapat sebarang maklumat sekali gus seolah-olah mendapat restu dari pihak tertentu untuk berbuat sedemikian.
“Pengakuan Datuk T khususnya Tan Sri Rahim sendiri membayangkan dengan jelas bahawa dendam kesumat dirinya kepada Anwar atas arahan melepaskan jawatan sebagai Ketua
Menteri Melaka selepas perbicaraan kes rogolnya dengan seorang gadis bawah umur,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, di sini, semalam.
Terdahulu, Anwar ditemani isterinya Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 22 Mac lalu sudah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dilemparkan seterusnya mendesak polis menyiasat kes berkenaan secara telus dan berani.
Mohamad Nazri berkata, AMK Johor juga percaya kerja terkutuk itu sudah diatur oleh ‘konspirator’ yang mahu menamatkan karier politik seterusnya mengaibkan Anwar selain mengalihkan fokus pimpinan PR terhadap pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“Penayangan video lucah ini jelas bermotifkan politik kerana pemilihan hari penayangan serentak dengan pembubaran DUN Sarawak dan kami yakin ada individu ‘penting’ di belakang Datuk T,” katanya.
Justeru, AMK Johor mendesak supaya pihak berkuasa menahan Datuk T dan didakwa atas tuduhan di bawah Seksyen 5 (1) (a) dan (b) Akta Penapisan Filem 2002 di atas kesalahan mempunyai dan menayang filem lucah yang bertentangan dengan kesopanan awam.
“Kami juga mahu Ummi Hafilda Ali turut ditahan di atas pengakuan memiliki 18 video lucah melibatkan pemimpin utama parti pembangkang. dalam akhbar tabloid tempatan pada 23 Mac lalu,” katanya.
Selain itu, katanya, AMK turut menyelar kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz apabila menyatakan bahawa tindakan Datuk T menayangkan video lucah berkenaan tidak menyalahi mana-mana perundangan negara.
No comments:
Post a Comment