Sunday, March 27, 2011

Terkejut bil telefon RM11,579.05



PANDAMARAN - Kehidupan seorang lelaki kini tidak tenteram selepas namanya disenarai hitam akibat gagal membuat bayaran penuh terhadap bil telefon bimbit berjumlah RM11,579.05 yang dikenakan syarikat telekomunikasi sejak September 2009.

Antara panggilan yang dibuat termasuklah Thailand, Ethopia dan juga Mali, Afrika Selatan.

Albert Kho Kia Boon, 27, dari Bayu Perdana mendakwa, berikutan itu, dia tidak boleh lagi membuat panggilan keluar kerana disekat.

“Pada asalnya, had penggunaan telefon saya adalah RM2,450 bagaimanapun sebaik bil mencecah jumlah ini, syarikat itu akan memaklumkan kepada saya.

“Bagaimanapun, kali ini berbeza dan saya hanya dimaklumkan sebaik bil telefon diterima membuatkan saya terkejut kerana tidak pernah menghubungi negara terbabit,” katanya.

Beliau mendakwa, beberapa kali ke syarikat telekomunikasi itu bagi menyelesaikan masalah ini.

“Beberapa kali mereka memaklumkan perkara sama iaitu saya harus membuat bayaran penuh.

“Tidak tahan dan khuatir saya telah dipergunakan pihak syarikat atau pihak lain, saya membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini,” katanya.

Menurutnya, dia semakin tertekan sebaik menerima surat daripada peguam.

“Sehinggalah November tahun lalu, kes dibicarakan di Mahkamah Jalan Duta dan dia diminta menjelaskan bayaran tersebut.

“Apa yang mengejutkan saya apabila e-billing yang diterima sebelum itu menunjukkan outstanding bill adalah sifar,” dakwanya ketika ditemui di Pejabat Biro Aduan MCA Klang di sini, beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran, Datuk Dr Ching Eu Boon yang mewakili Pusat Khidmat Masyarakat berkata, pihaknya percaya kemungkinan perkara ini berlaku disebabkan masalah teknikal berkaitan sistem.

“Tambahan lagi sudah banyak kes sedemikian berlaku, oleh itu, syarikat tersebut harus menyiasat perkara ini dengan teliti kerana kita khuatir berlaku penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pekerja syarikat.

“Selain itu, kita turut akan membantu Albert dari segi guaman agar masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya

No comments:

Post a Comment