Saturday, March 19, 2011

Jumpa aku kalau berani’


DIUGUT...Ct Hanani dan Ryl Zafwan menunjukkan laporan polis dan gambar ketika mengikuti program.

DIUGUT...Ct Hanani dan Ryl Zafwan menunjukkan laporan polis dan gambar ketika mengikuti program.

KUALA LUMPUR: “Saya kecewa dengan sikap pihak produksi yang dilihat seolah-olah cuba memperbodohkan saya dan anak. Lebih biadab, suami turut diugut seorang daripada wakil pihak berkenaan hanya kerana meminta penjelasan terhadap tindakan mereka,” tegas pelakon baru meningkat naik, Siti Norhanani Samawi, 31, atau lebih dikenali sebagai Ct Hanani.
Dia berkata demikian ketika mengulas tindakan seorang lelaki yang juga wakil produksi bagi sebuah rancangan permainan kanak-kanak terbitan stesen televisyen swasta yang mengugut suaminya pada Selasa lalu kira-kira jam 10 malam selepas menuntut penjelasan membatalkan kemenangan Ct Hanani dan anaknya, Muhammad Nadzryl Zafwan, 11, atau lebih dikenali sebagai Ryl Zafwan selepas menjuarai program berkenaan.

Ct Hanani, suami dan tiga anak mereka mula serius dalam bidang lakonan sejak hujung tahun lalu. Malah, keluarga terbabit pernah membintangi beberapa drama serta filem seperti Gemilang, Awan Dania 3, Bini-biniku Gengstar, Diari Suami 9 bulan dan Kurma Ajwa untuk Najwa yang masih dalam penggambaran mendakwa terkejut dan kecewa dengan perbuatan berkenaan.

Menurut Ct Hanani, selepas berusaha keras dalam tiga pusingan, akhirnya dia dan Ryl Zafwan berjaya menjuarai program berkenaan.

“Bagaimanapun, pada Selasa lalu, seorang wakil produksi bertindak menghubungi saya mengatakan perlu melakukan semula rakaman disebabkan masalah teknikal selain turut membatalkan kemenangan kami sebelum ini.

“Terkejut dengan itu, saya mula meminta penjelasan mengenai insiden berkenaan, namun disebabkan sibuk dengan aktiviti penggambaran, saya memberitahu akan menghubunginya semula,” katanya.

Ct Hanani berkata, selepas habis penggambaran, dia meminta suaminya untuk bercakap dengan pihak berkenaan, namun keadaan mula bertukar tegang apabila wakil produksi itu mula meninggikan suara dan memarahi suaminya.

“Belumpun selesai masalah itu, wakil produksi berkenaan kemudian menyerahkan telefon bimbitnya kononnya kepada pengurus produksi yang dikatakan akan memberikan penjelasan kepada kami.
“Sebaliknya, lelaki terbabit bertindak biadab dengan mengugut suami dengan mengatakan tidak takut kepadanya selain mengarahkannya supaya datang berjumpa sekiranya berani.

“Kami tidak tahu apa motifnya dan kenapa perlu dia bercakap demikian,” katanya.

Bimbang mengenai keselamatannya, keluarga terbabit tampil membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

No comments:

Post a Comment