MELBOURNE, Australia - Seorang remaja yang hanya dikenali sebagai Jess terpaksa melupakan hasrat untuk mengadakan majlis ulang tahun kelahirannya akibat menerima respons bahawa 180,000 orang akan hadir selepas dia membuat undangan di laman jaringan Facebook, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut laporan media, undangan majlis hari jadi ke-15 Jess secara kecil-kecilan itu yang akan diadakan di rumahnya tersebar meluas sehingga dia menerima maklum balas mengejutkan selepas disiarkan di laman tersebut.
Remaja itu difahamkan mengambil keputusan untuk membatalkan majlisnya selepas maklumat jemputan itu dapat dilihat oleh semua pengguna Facebook.
Pelajar itu pada awalnya membuat jemputan tersebut hanya kepada rakan-rakan sekelasnya tanpa menyedari mesej yang dihantarnya boleh dibaca oleh orang lain dalam Facebook.
Undangan itu juga telah digodam oleh sebuah kumpulan sembang di laman sosial tersebut yang menggelar diri mereka sebagai Anonymous sehingga majlis itu boleh diketahui di seluruh dunia.
Sebuah laman web mengambil kesempatan mendapatkan wang ekoran populariti segera Jess dengan menjual baju berharga AS$15.50 (RM47.32) yang tertera nama Jess dan tarikh majlis tersebut. - Agensi
No comments:
Post a Comment