Saturday, March 19, 2011

RM383,327 harga gaun Middleton





2011/03/19

3 bersaing beli pakaian tunang Putera William

LONDON: Gaun jarang yang dipakai Kate Mid-dleton, bakal isteri pewaris takhta Britain, Putera William, dalam satu pertunjukan fesyen pada 2002, dijual dengan harga £78,000 (RM383,327) kepada seorang pembeli misteri, semalam.

Gaun itu dilapor dibeli seorang lelaki tempatan yang namanya tidak didedahkan pada satu acara lelongan di London kelmarin dengan harga permulaan £65,000 selepas membayar £13,000 (RM63,872) lagi sebagai pendahuluan bidaan.
Lelaki itu mengalahkan sekurang-kurangnya tiga pembida yang turut bersaing untuk membeli gaun itu dalam sebuah bilik yang penuh sesak, manakala sebilangan lagi membida melalui telefon.
“Beliau berpendapat pakaian itu satu ikon dan sangat gembira kerana dapat membelinya,” kata wakilnya yang juga enggan namanya didedahkan. 

Gaun itu diserahkan untuk jualan lelong oleh perekanya Charlotte Todd yang tidak terbabit dalam bidang fesyen tetapi bekerja di sebuah akuarium. 
Ia sepatutnya dijadikan skirt, tetapi Middleton memakainya sebagai gaun untuk menyerlahkan bikini hitam di sebaliknya. 

“Saya amat terkejut dengan harga ditawarkan. Saya terpaksa duduk di kerusi untuk menenangkan diri untuk mempercayainya. 
“Saya tidak sangka sama sekali harga ditawarkan begitu tinggi kerana pada mulanya saya tidak begitu berharap ia akan dapat dijual,” katanya. 

Banyak pihak berkata, gaun jarang yang dipakai Kate mencuri perhatian William untuk mengenali wanita itu secara lebih dekat. 

Salah seorang pembida, Carole Lieberman berkata, gaun itu menunjukkan bahawa Kate bersedia melakukan taktik ‘terlampau’ dalam usahanya memikat pewaris takhta itu. 

Beliau yang juga hos rancangan bual bicara di Amerika dan pakar psikiatri bercadang untuk membida gaun itu selepas membeli beberapa pakaian lain, termasuk gaun tidur kepunyaan Wallis Simpson, isteri kepada King Edward VIII yang terpaksa turun takhta selepas mengahwininya. – AP 

No comments:

Post a Comment