Saturday, March 19, 2011

Rano Karno Gabenor Jakarta?



RANO KARNO


JAKARTA - Bekas bintang filem terkenal Indonesia, Rano Karno disebut-sebut bakal bertanding merebut jawatan Gabenor Jakarta pada Pemilihan Umum Kepala Daerah (Pilkada) bagi Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta 2012.
Jika dicalonkan, Rano yang kini menjadi Wakil Bupati (naib pegawai daerah) Tangerang akan bertanding atas tiket Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), selaras dengan dasar parti itu untuk mengetengahkan anggotanya sendiri.
Dalam Pilkada DKI Jakarta pada 2007, PDI-P mencalonkan Fauzi Bowo yang kemudian menjadi Gabenor DKI Jakarta waktu ini.
"Sudah muncul beberapa nama. Kami akan penuhi aspirasi akar umbi dan pasti mengetengahkan anggota kami sendiri," kata ketua cawangan PDI-P di Jakarta, Sayogo Hendro Subroto.
Rano Karno seorang penyanyi, pelakon, pengarah dan penerbit serta pernah popular dengan lagu Kau Yang Kusayang, merupakan anak pelakon terkenal Indonesia, Allahyarham Sukarno M. Noor.
Lahir di Jakarta pada 8 Oktober 1960, beliau dikenali sejak umur sembilan tahun apabila membintangi filem Lewat Tengah Malamtetapi mencipta nama menerusi filem Si Doel Anak Betawi pada 1972.
Filem lain termasuk Wajah Tiga PerempuanSuci Sang PrimadonaGita Cinta dari SMA.
Kata Sayogo, Rano Karno antara beberapa nama yang disebut-sebut sebagai calon tetapi ia akan diputuskan oleh PDI-P pada mesyuarat peringkat daerah nanti.
Mesyuarat PDI-P DKI Jakarta dijadual Jun ini apabila setiap cawangan dan unit menamakan calon Pilkada 2012.
Meskipun mengetengahkan calon daripada kalangan anggotanya, PDI-P tidak menolak kemungkinan calonnya bertanding jawatan Naib Gabenor bukannya Gabenor memandangkan pengaruh PDI-P di Jakarta tidak terlalu besar.
PDI-P tidak mencalonkan semula Fauzi Bowo pada Pilkada pada tahun depan atas alasan banyaknya keluhan masyarakat berhubung pelbagai program yang tidak dilaksanakan.
Kata Sayogo, pemerintah di Jakarta pada waktu ini tidak mempunyai komunikasi baik dengan warga kota kerana setiap keputusan yang dibuat selalunya mendapat tentangan.
Selain itu, pemerintah perlu meletakkan keutamaan dalam menyelesaikan pelbagai masalah di ibu kota terutamanya kesesakan lalu lintas, katanya.
"Untuk mengatasi kesesakan, apakah kenderaan harus dihadkan atau lebih banyak jalan perlu dibina?" tanya Sayogo. - AGENSI

No comments:

Post a Comment