MIYAKO (Jepun): Bencana gempa bumi dan tsunami Jepun Jumaat lalu paling teruk menjejas ramai warga tua, yang melihat harapan mereka menempuh sisa-sisa hari tua dengan aman berkecai menjadi igauan selepas mereka kehilangan rumah dalam kejadian itu.Dalam kebingungan kerana kehilangan segala-galanya, warga tua ini, yang sering kali tanpa sokongan keluarga, adalah mangsa paling sengsara, selepas ombak besar memusnahkan pantai timur laut Jepun itu seminggu lalu.Seperti kebanyakan pekan dan desa lain di rantau itu, pekan pelabuhan Miyako yang sunyi mempunyai kadar penduduk warga tua yang tinggi kerana semakin ramai warga muda berpindah ke tempat lain untuk mencari pekerjaan.Warga tua membentuk sebahagian besar mangsa yang hilang atau mati dalam tsunami itu.'Ramai orang tua cuba lari, tetapi saya fikir ramai yang mati,' kata seorang penduduk Miyako, Encik Kohe Katzuyama, berusia lewat 60-an tahun,Bagi ramai orang seperti Encik Katzuyama, dapat terus hidup sahaja merupakan rahmat walaupun ia hakikat yang pahit.Mereka yang sempat sampai ke pusat perlindungan kerajaan terpaksa menghadapi kesukaran lain kerana tempat-tempat seperti itu kini hanya ada sedikit atau tiada langsung bekalan tenaga dan air, berada dalam cuaca amat sejuk dan ribut salju.Bagi warga tua yang perlukan ubat tertentu, peluang mereka mendapatkan terus rawatan kini sangat tipis atau tiada langsung kerana ramai yang kehilangan ubat ketika tsunami melanda.Masa depan juga suram bagi mereka yang sudah terlalu tua dan mungkin tidak berpeluang membina hidup baru dalam jangka panjang.Cik Keiko Okashi, 70-an tahun, nampak hampir kalah dalam cabaran itu ketika beliau menemui semula rumahnya yang ranap di Miyako.Yang tinggal hanya setimbun serpihan di bawah bumbung yang hanya mencecah paras pinggangnya.Cik Okashi dan suaminya kini melihat hidup mereka bergantung kepada keperluan paling asas sahaja kerana anak-anak mereka, yang tinggal di Tokyo atau di bandar Morioka, mungkin tidak dapat tiba segera bagi membantu.'Nak membina semula? Mula-mula sekali, kami harus terus hidup,' kata beliau.Namun, Cik Okashi masih sempat senyum mesra apabila tiba-tiba bertemu seorang kawan lamanya.Buat seketika, kedua-dua wanita itu hanya berpegang tangan, sambil merenung kemusnahan di sekeliling.Hidup ramai warga tua di Miyako memang sedia sukar, dan ini dapat dilihat daripada rumah mereka yang dibina dengan murah kerana itu saja yang termampu. Ada sekadar papan lapis yang berlubang di sana sini.'Segala-galanya kucar-kacir. Saya hilang banyak sekali,' kata Cik Okashi.Bagaimanapun, beliau tidak berputus asa mencari barangan miliknya, termasuk wang simpanannya yang tersimpan di rumah, seperti dilakukan banyak warga tua Jepun lain. -- AFP.**** **** **** ****
KRISIS NUKLEAR
LOJI tenaga nuklear Fukushima Daiichi mempunyai enam reaktor. Loji itu dikendalikan Tokyo Electric Power Co (Tepco).Berikut rumusan apa yang berlaku di setiap unit dan risikonya.
Reaktor No 3:Apa yang berlaku: Pasukan bomba akan terus menjirus air ke reaktor ini. Reaktor ini mengeluarkan radiasi paling tinggi kerana ia satu-satunya yang menggunakan plutonium. Ia dianggap lebih berbahaya daripada uranium.Agensi nuklear Jepun berkata tujuan utamanya ialah mengisi air dalam kolam bahan bakar yang telah digunakan. Asap dan wap meruap dari reaktor ini semalam. Begitu juga di Reaktor No 2 dan No 3.
Apa risikonya: Wap yang keluar dari loji itu boleh mengeluarkan radiasi ke atmosfera. Ada 'kemungkinan' tempat kurungannya, benteng utama terhadap kebocoran radiasi, telah rosak. Semua reaktor ini ada bangunan kurungan kedua.
Reaktor No 4:Apa yang berlaku: Kolam penyejuk bagi batang bahan bakar yang telah digunakan mungkin kering dan satu lagi bocor. Paras radiasi di sekitar kolam penyejuk itu terlalu tinggi hingga menimbulkan bahaya ke atas pekerja.Selasa lalu, kolam bahan bakar yang telah digunakan itu terbakar dan meletup hingga menyebabkan dua lubang sebesar lapan meter persegi di tembok bangunan luar.
Apa risikonya: Pendedahan bahan bakar merupakan hal serius kerana ada lebih banyak radiasi dalam bahan bakar yang telah digunakan itu berbanding dalam reaktor. Kolam itu juga tidak dikurung.
Reaktor No 2:Apa yang berlaku: Pekerja sedang cuba menyambung kabel tenaga ke Reaktor No 1 dan No 2 untuk menggerakkan semula pam bagi menyiram air ke atas batang bahan bakar yang terlalu panas.
Apa risikonya: Apabila bahan bakar tidak lagi diselimuti penyejuk, ia boleh mencair dan meningkatkan risiko kebocoran radiasi atau mungkin juga peleburan.
Reaktor No 1: 460-MW
Apa yang berlaku: Agak mantap, seperti juga No 5 dan No 6. Awal kelmarin, Tepco merancang memasang kabel ke No 1 dan No 2 bagi menghidupkan balik sistem penyejukan.Letupan berlaku Sabtu lalu. Tepco berkata Rabu lalu sekitar 70 peratus batang bahan bakarnya rosak.
Apa risikonya: Jika bahan bakarnya tidak diselimuti penyejuk, ia boleh cair.
Reaktor No 5 dan 6:Apa yang berlaku: Reaktor ini berkongsi penjana kuasa diesel dan ditutup untuk penyenggaraan ketika gempa berlaku.
Apa risikonya: Tidak tinggi berbanding Reaktor No 1 hingga No 4. -- Reuters.
cyberita
No comments:
Post a Comment