KUALA LUMPUR 18 Mac – Sikap yang mengongkong kerjaya sebagai artis dan tidak menghormati ayah mertua semasa hayatnya adalah antara dakwaan penyanyi Saida terhadap suaminya yang menjadi sebab artis tersebut mengemukakan permohonan bercerai secara baik.
Perkara tersebut diberitahu oleh suami Saida sendiri, Mohd. Ghazali Yahya Zikri, 40, ketika ditanya oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Mohd. Suhaily Rosdi berhubung permohonan yang dikemukakan oleh isterinya.
Biarpun dianggap bersikap demikian, menurut Mohd. Ghazali yang pernah bekerja sebagai jurutera kaji bumi, perasaan cinta dan sayangnya terhadap Saida tidak pernah berubah.
‘‘Saya cuba memperbaiki hubungan antara kami dengan berbincang dari hati ke hati, tetapi Saida selalu menyalahkan saya.
‘‘Sebagai suami, saya cuba pulihkan rumah tangga. Saya cuba dapatkan khidmat kaunseling, bagaimanapun ia tidak berjaya kerana Saida tidak turut serta,’’ keluh Mohd. Ghazali yang kini merupakan seorang ahli perniagaan.
Tambahnya lagi, beliau bercadang untuk membawa Saida, 35, pergi menunaikan umrah untuk memulihkan hubungan mereka.
Kemunculan Mohd. Ghazali buat pertama kali di mahkamah setelah kes ini disebut sebanyak tiga kali sebelum ini telah menyebabkan Mohd. Suhaily berkali-kali menegur lelaki tersebut.
Saida atau nama sebenarnya Siti Nursaida Tarudin turut disoal oleh Mohd. Suhaily yang bertanyakan sama ada beliau masih ingin meneruskan permohonan cerai secara baik.
Artis kelahiran rancangan realiti Akademi Fantasia musim keenam itu menyatakan, beliau tetap berhasrat meneruskan permohonan itu kerana dirinya tidak dapat lagi menerima Mohd. Ghazali.
Ditanya oleh Mohd. Suhaily mengapa penyanyi berkenaan tidak dapat menerima suaminya yang dinikahi sejak 15 tahun lalu, Saida berkata:
‘‘Sebab sikapnya yang menyakitkan hati saya.’’
Mohd. Suhaily kemudian memutuskan agar Mohd. Ghazali dan Saida melantik dua wakil yang terdiri daripada saudara-mara terdekat bagi menganggotai hakam (penimbangtara).
No comments:
Post a Comment