Friday, September 21, 2012

4 kedutaan AS ditutup

JAKARTA: Semua pejabat diplomatik Amerika Syarikat (AS) di Indonesia ditutup hari ini setelah menerima ancaman “demonstrasi besar-besaran” membantah filem anti-Islam, kata Kedutaan AS, semalam.
Filem bajet rendah berjudul Innocence of Muslims menyebabkan demonstrasi ganas di dunia Islam, termasuk Indonesia di mana penunjuk perasaan membaling bom petrol di hadapan kedutaan AS di Jakarta, awal minggu ini.
Pejabat diplomatik AS di Jakarta dan tiga bandar lain akan ditutup hari ini “kerana demonstrasi besar-besaran mungkin dibuat di hadapan pejabat ini”, kata kedutaan itu dalam satu kenyataan.

“Kami menasihatkan, seperti biasa, orang ramai perlu mengelak perhimpunan besar yang mungkin bertukar ganas,” katanya.


Pegawai berkata, 11 anggota polis dan seorang penunjuk perasaan cedera dalam keganasan Isnin lalu di negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar dunia. Polis terpaksa menggunakan meriam air untuk mengawal 700 penunjuk perasaan yang kebanyakannya adalah kumpulan radikal Islam.

Australia turut mengeluarkan amaran keselamatan kepada rakyatnya di Indonesia semalam mengenai bantahan hari ini, meminta mereka untuk “sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselematan.”

Perancis juga bersedia menghadapi masalah dan berkata, kedutaan, konsulat, pusat kebudayaan dan sekolah Antarabangsa Perancis di 20 negara Islam, ditutup hari ini.

Pengumuman itu dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga setelah majalah satira mingguan Perancis memaparkan kartun menghina Nabi Muhammad. - JP

No comments:

Post a Comment