JAKARTA - Penyandang gabenor Jakarta, Fauzi Bowo mengaku kalah dalam pilihan raya penentu semalam dan mengucap tahniah kepada pencabarnya Joko Widodo, selepas kiraan pantas yang dilakukan agensi undian mendapati Widodo memperoleh lebih daripada separuh undi.
Gabenor baharu Jakarta bakal berdepan cabaran untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas dan kekurangan kemudahan infrastruktur.
Proses pengiraan undi dilakukan di 400 daripada 15,000 tempat membuang undi dengan undi rosak kira-kira dua peratus. Keputusan rasmi bagaimanapun dijangka diumumkan pada 29 September nanti.
Sebelum ini, Widodo mendahului keputusan undian pusingan pertama pada Julai lalu dengan memenangi 43 peratus undi dan Bowo mendapat 34 peratus undi. Namun kedua-dua calon itu gagal mencapai keputusan undi 50 peratus yang diperlukan untuk menang.
Widodo disokong oleh parti kedua terbesar Indonesia, Parti Perjuangan Demokratik dan Parti Gerakan Indonesia Raya yang diketuai oleh Prabowo Subianto, bekas komander pasukan khas Indonesia.
Bowo pula disokong oleh Parti Demokratik pimpinan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Para penganalisis meramalkan ia satu pertembungan yang sengit. Terdapat seramai tujuh juta pengundi berdaftar. Kertas undi akan dikira dengan tangan di semua tempat undi selepas pengundian ditutup. - AFP
No comments:
Post a Comment