Friday, September 21, 2012

MEWARISI `STRATEGI BIJAK’ PESAKA NABI (S.A.W) | Hishamuddin Abdul Aziz

MEWARISI `STRATEGI BIJAK’ PESAKA NABI (S.A.W) | Hishamuddin Abdul Aziz:


Dalam perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah [s.a.w] menangguhkan atau mengundurkan matlamat sebenar umat Islam untuk menunaikan umrah pada tahun itu.
Ada di kalangan para sahabat yang utama, tidak senang dengan keputusan itu, namun mereka masih berwala’ terhadap Nabi [s.a.w] sebagai pimpinan mereka.
Sejarah membuktikan bahawa matlamat yang tertangguh itu, akhirnya tertunai jua berkat sikap kepatuhan dan kesabaran yang ada dan diberikan oleh para sahabat terhadap Nabi [s.a.w] itu.
Bukan sahaja umrah dapat ditunaikan beberapa tahun berikutnya, malah umat Islam mendapat kejayaan bonus yang sangat besar, iaitu meletakkan Kota Mekah di bawah kekuasaan umat Islam sebagaimana yang sepatutnya.
Begitulah dengan sikap PAS pada hari ini.
PAS menangguhkan atau mengundurkan beberapa matlamat dan tujuan `perjuangan Islam’nya, walau ada di kalangan ahli yang tidak menyenangi dan memahaminya.
Namun ahli-ahli yang selama ini telah disirami oleh roh tarbiyah, memahami setiap langkah dan tindakan yang telah diputuskan oleh pihak syura parti.
Ahli-ahli PAS adalah pendokong kepada sebuah gerakan atau jamaah Islam yang ada ‘feqah’ tersendiri di dalam mengerakkan parti dan perjuangannya.
PAS bukanlah sebuah parti yang berubah kerana tiupan arus politik yang ada. Tetapi berubah atau tidaknya PAS bergantung kepada keperluan dan apa yang lebih penting adalah selama mana perubahan itu dibenarkan oleh prinsip dan dasar perjuangan parti berdasarkan nilaian dan pemantauan instiutsi syura yang ada.
PAS tidak perlu tunduk kepada tuntutan mahupun ugutan ramai apatah lagi individu, jika sekiranya ia bercanggah dengan dasar dan prinsip perjuangan sebagaimana yang disebutkan tadi.
Kewujudan insititusi syura di dalam PAS ini, menjamin tidak akan berlakunya apa yang disebut bahawa pimpinan atau individu tertentu telah dipengaruhi oleh kumpulan atau kelompok tertentu, di dalam PAS.
Kita percaya, Islam yang dasar syariatnya bersifat luas, memungkinkan kita mencari ruang untuk berdiri dan mendapat tempat di dalam masyarakat walaupun di dalam masa yang sama, langkah dan tindakan yang diambil oleh PAS terpelihara dari membelakangkan matlamat perjuangan yang sebenarnya.
Mungkin ada matlamat dan tujuan perjuangan ditangguhkan. Namun penangguhan itu, bukan untuk membuangnya terus dari isi perjuangan, tetapi me`meram’nya agar agar ia lebih enak untuk diterima bila tiba masanya.
Sebagaimana bagi Rasulullah (s.a.w), biarlah surat perjanjian Hudaibiyah itu tidak menggunakan nama Muhammad `Rasulullah’ sebaliknya hanya menggunakan nama Muhammad Ibni Abdillah kerana wakil pihak Quraisy Mekah tidak mahu memakainya. Memasuki Mekah dengan aman jauh lebih penting dari sekadar perkataan `Rasulullah’ digunakan di dalam surat perjanjian itu.
Biarlah istilah Negara Islam di`peram’ sementara istilah Negara Kebajikan dipakai; asalkan pengisian yang ada hampir memenuhi matlamat asal. Setelah nanti mereka menyedari bahawa Islam dan dasarnya itu adalah ibu kepada segala kebajikan di atas dunia ini, maka apa pun istilah yang dipakai nanti pada waktu mendatang akan menjadi lunak untuk diterima.
Sekian dari saya, Hishamuddin bin Abdul Aziz.
Wallahu a’lam

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment