PARIS 20 Sept. - Berpuluh-puluh ribu ekspatriat Perancis yang tinggal di negara-negara Islam bimbang akan menjadi sasaran seterusnya bantahan, ekoran penerbitan majalah satira negara ini yang memaparkan karikatur bogel Nabi Muhammad SAW, semalam.
Demonstrasi ganas telah mengakibatkan lebih 30 kematian minggu lalu ekoran penyiaran filem anti-Islam, Innocence of Muslims yang menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai sasaran.
Namun, menteri-menteri Perancis bimbang fokus itu beralih ke arah kepentingan negara ini yang berada di luar negara.
Kerajaan Sosialis Perancis, turut berdepan dengan dilema tentang bagaimana untuk menguruskan kemarahan kira-kira empat juta umat Islam di negara ini setelah penerbitan karikatur oleh majalah Charlie Hebdo itu.
Beribu-ribu salinan tambahan majalah itu dijangka akan terus laris hari ini setelah cetakan biasa sebanyak 75,000 salinan habis terjual hanya dalam tempoh beberapa jam, semalam.
Umat Islam yang menghadiri solat Jumaat di Masjid-masjid Perancis esok akan mendengar khutbah menggesa supaya mereka bertenang dan pada masa sama menggesa kerajaan menyekat penyiaran sebarang bahan berunsur penghinaan.
Kerajaan turut mengerahkan polis antirusuhan bagi melindungi pejabat Charlie Hebdo yang turut diserang dengan bom api tahun lalu ekoran penerbitan artikel yang menghina Nabi Muhammad.
Editor majalah mingguan berhaluan kiri itu, Stephane Charbonnier juga telah melantik pengawal peribadi, namun beliau tidak menyesal akan perbuatannya dan menepis dakwaan menyatakan penerbitan karikatur itu dibuat pada masa yang salah.
Dalam perkembangan berlainan di Kabul, ratusan penduduk Afghanistan mengadakan demonstrasi hari ini, membantah tindakan penyiaran karikatur berkenaan dengan melaung-laungkan 'Pergi mati Perancis' dan 'Pergi mati Amerika'.
Protes yang sama turut diadakan di hadapan Kedutaan Perancis di Teheran dan Lebanon. - AFP
No comments:
Post a Comment