Thursday, October 4, 2012

Iran tidak akan undur




         
TEHERAN: Iran akan meneruskan program nuklearnya walaupun berdepan dengan masalah, termasuk kejatuhan mendadak nilai matawangnya, kesan daripada sekatan Barat.

“Kami bukan orang yang akan berundur daripada isu nuklear. “Jika ada pihak yang terfikir mereka boleh menekan Iran, mereka silap dan mereka sepatutnya membetulkan sikap mereka,” kata Presiden Mahmoud Ahmadinejad (gambar) pada sidang akhbar di Teheran. Beliau berkata demikian selepas nilai mata wang negara itu jatuh mendadak. Kejatuhannya kini mencapai lebih 80 peratus berbanding setahun sebelumnya.


Pada Isnin lalu saja, nilainya merudum sebanyak 17 peratus.

Rial Iran jatuh empat peratus lagi semalam dan ditutup pada 36,100 rial berbanding AS$1 (RM3).


Mahmoud berkata, kejatuhan itu adalah sebahagian daripada ‘perang ekonomi’ yang dilancarkan oleh Barat terhadap Republik Islam itu serta ‘perang psikologi’ ke atas pasaran tukaran wang.


Beliau berkata, Iran mempunyai simpanan wang asing secukupnya.

Simpanan itu dianggarkan kira-kira AS$100 billion (RM300 bilion) pada akhir tahun lalu, hasil daripada peningkatan harga minyak.


Rumah Putih semalam berkata, rakyat Iran menyalahkan pemimpin mereka kerana masalah yang semakin meningkat di negara itu, kesan daripada sekatan Amerika Syarikat dan antarabangsa berkait dengan program nuklear Teheran.

Jurucakap Rumah Putih, Jay Carney berkata, keadaan ekonomi yang semakin buruk di Iran, yang turut mendorong kenaikan harga barangan makanan asas adalah tanda menunjukkan kerajaan negara itu berdepan dengan tekanan.


Sementara itu, dalam sidang media di Teheran, Mahmoud juga mengulas mengenai kemungkinan peperangan meletus akibat daripada program nuklear Iran.


Pemimpin Iran itu sekali lagi berkata, beliau tidak begitu bimbang dengan ancaman Israel untuk melancarkan serangan ke atas negara nya. - AFP

No comments:

Post a Comment