Azalina Othman Said
AZALINA
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Azalina Othman menyerahkan kepada peguamnnya untuk membawa isu melibatkan Mazlan Aliman berhubung projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) ke mahkamah susulan pendirian Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu enggan memohon maaf.

Ahli Parlimen Pengerang ini berkata, Mazlan mempunyai peguam dan perkara itu diserahkan kepada wakil peguam antara kedua-dua pihak.

Katanya, "isu Mazlan saya serahkan kepada peguam saya, dia pun ada peguam dia, biar mereka yang uruskan."

"Kita serah kepada peguam," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai tindakan perundangan yang hendak diambil ke atas Mazlan selepas gagal memohon maaf secara terbuka.
Dihubungi Sinar Harian semalam, Mazlan menegaskan beliau tidak akan memohon maaf kepada Azalina dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Saya tidak kata dirinya (Azalina) terlibat dalam projek itu. Apa yang saya sebut ialah selaku Ahli Parlimen, beliau mempunyai alasan dan sebab mengenai pembangunan itu dilakukan di kawasan perkampungan penduduk.
“Saya tidak akan minta maaf. Jika dia rasa ada sebab untuk saman, itu hak dia, hak demokrasi," katanya.
Kelmarin, Azalina menggesa Mazlan agar memohon maaf kepadanya secara terbuka berhubung isu penglibatan Azalina dalam projek Rapid.
Azalina berkata. kenyataan Mazlan itu berbaur fitnah dan tidak benar.
"Saya agak terperanjat dengan kenyataan yang seperti itu, saya rasa ini penyataan berniat jahat kepada saya.
"Saya jumpa Perdana Menteri lebih kepada projek Rapid dimaklumkan dan berbincang mengenai penubuhan institut untuk orang muda.
"Tuduhan yang dia (Mazlan) buat itu saya sudah arahkan peguam saya untuk kaji ucapan yang dia buat, untuk saman dia, dan saya sudah minta peguam membuat tuntutan kepada dia untuk mohon maaf dalam masa terdekat.
"Berapa juta saya nak saman itu, saya akan fikirkan dan buat pengiraan terlebih dahulu," katanya.
Justeru, Azalina menyerahkan sepenuhnya kepada peguam dan tidak akan campur tangan.
Bila ditanya keengganan Mazlan memohon maaf, Azalina berkata, "itu terpulang pada dia."