Thursday, October 4, 2012

Tv Syria selar pemimpin Hamas




         
BEIRUT: Televisyen Syria semalam menyelar pemimpin Hamas Palestin kerana ‘meninggalkan’ Presiden Bashar Al-Assad, yang satu ketika dulu menjadi pelindungnya.

Syria menerima Hamas pada 1999 selepas pihak berkuasa Jordan mengusir pemimpin dalam buangannya, Khaled Meshaal (gambar), yang dituduh menggunakan negara itu untuk menjalankan kegiatan haram.


Persahabatan Bashar dengan Khaled yang dibina atas permusuhan mereka terhadap Israel, terjejas selepas tentera yang setia kepada Presiden Syria itu bertindak terhadap penunjuk perasaan sehingga merebak menjadi pemberontakan bersenjata.

Khaled menutup pejabat Hamas di Damsyik Februari lalu dan berpindah ke Qatar.


“Kedatangan Khaled yang seperti anak yatim mencari perlindungan disambut dengan baik oleh Syria selepas negara lain memulaukannya,” kata televisyen Syria semalam.


“Sekiranya anda bersedih dengan penderitaan rakyat Syria, mengapa anda tidak memberi tumpuan sama kepada rakyat Palestin di wilayah yang dijajah Israel?” antara soalan yang dibangkitkan televisyen itu kepada pemimpin Hamas berkenaan.

Syria dan Iran membentuk ‘paksi penentangan’ bersama-sama kumpulan Hizbullah di Lubnan serta Hamas bagi menentang Israel yang menjajah Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sejak 1967. Tetapi, Hamas, yang ideologinya berasaskan ideologi pergerakan Ikwanul Muslimin yang berfahaman Sunni, menjauhkan diri daripada Bashar tahun lalu apabila pemimpin Syria itu memerangi penunjuk perasaan dan pejuang Sunni negara itu. - AFP.

No comments:

Post a Comment