Thursday, October 4, 2012

Lebih 60,000 kesalahan lalu lintas dirakam AES

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Sebanyak 63,558 imej kesalahan lalu lintas dirakam di seluruh negara melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sejak sistem itu beroperasi 23 Sept lepas.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata imej itu kini dalam proses semakan dan pengesahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum saman dikeluarkan kepada pesalah lalu lintas itu.
"Memandangkan saman belum dikeluarkan di bawah pelaksanaan AES, maka tiada sebarang hasil yang dikutip setakat ini," katanya ketika menjawab soalan Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) yang ingin tahu jumlah saman dan hasil sejak perlaksanaan AES, pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Abdul Rahim turut menafikan bahawa pengendali AES boleh sewenang-wenangnya merakam dan mendakwa pengguna jalan raya melakukan kesalahan atas faktor keuntungan, sebaliknya setiap rakaman akan disemak oleh JPJ terlebih dahulu.
"Apabila sesuatu kesalahan dilakukan, rakaman oleh pengendali operasi akan dianalisa dan disemak semula oleh JPJ sebelum saman dikeluarkan bagi memastikan kesalahan itu benar-benar berlaku. JPJ yang mengeluarkan saman bukan pengendali," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121004/dn_31/Lebih-60000-kesalahan-lalu-linta-dirakam-AES#ixzz28L3FzOBm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment