Thursday, October 4, 2012

Rakyat tak tahan ketidakadilan Bashar




Agnes Mariam
Kuala Lumpur: Konflik di Syria sekarang berasaskan gerakan massa yang lahir daripada nurani rakyatnya yang tidak tahan dengan ketidakadilan pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.

Hal itu dinyatakan seorang paderi dari sebuah gereja Katolik di Syria, Mother Superior Agnes Mariam pada sesi Dialog Pemberontakan Syria anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), di Taman Tasek Perdana, di sini semalam. Ia dihadiri kira-kira 100 orang yang kebanyakannya rakyat Syria bertugas di Malaysia. Hadir sama, Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai dan Pengarah Eksekutifnya, Dr Zulaiha Ismail.
Menjawab soalan hadirin, Agnes Mariam berkata, perang saudara sekarang boleh dihentikan jika tentera setia kepada Bashar dan rakyat yang mengangkat senjata menghormati Konvensyen Geneva dengan perundingan sebagai asas penyelesaian konflik.

Ketika ditemui selepas itu, Agnes Mariam berkata, rakyat Syria menggelarkan gerakan massa itu sebagai musalahah yang lahir selepas 200 intelektual Syria yang mengadakan perjumpaan dan meminta Bashar membuat perubahan dalam sistem pentadbiran, ekonomi dan politik awal tahun lalu, dipenjarakan.

Kami bukan bertindak atas landasan politik, sebaliknya atas landasan musalahah. Kami mahukan perubahan seluruhnya. Kalau ada pilihan raya pun, ia tidak mewakili keseluruhan rakyat.

Ada 18 komuniti masyarakat di Syria. Kami tanpa mengira agama, bangsa atau kaum mahukan perubahan dilakukan. Keadaan sekarang amat menyedihkan kerana Bashar menggunakan kekuatan tentera untuk menghalang gerakan itu, katanya.
Mengenai laporan berat sebelah agensi berita asing, Agnes Mariam berkata, laporan berkenaan dihasilkan dengan berdasarkan kepentingan Barat manakala media tempatan pula berpaksi kepada kepentingan pihak tertentu yang ada antaranya dikuasai negara jiran Syria.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat antabangsa memberi sokongan kepada gerakan massa dengan mendesak Bashar segera menghentikan serangan ke atas masyarakat awam.

No comments:

Post a Comment