Thursday, October 4, 2012

Hakim tegur Aidil gagal lagi hadir perbicaraan di mahkamah syariah



Rita Rudaini

PETALING JAYA 3 Okt. - Walaupun telah berulang kali ditegur oleh hakim, pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak masih gagal hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di sini berhubung permohonan kembali taat yang dikemukakan terhadap isterinya, pelakon, Rita Rudaini Mokhtar.
Berikutan itu, Hakim Syarie, Saharuddin Selamat hari ini sekali lagi meminta peguam syarie, Ahmad Nazib Johari yang mewakili Aidil supaya menasihati anak guamnya itu.
''Pada tarikh yang lalu anak guam tidak hadir, hari ini pun tidak hadir, peguam tolong nasihatkan anak guam baik-baik.
''Sepatutnya apabila tidak hadir, kemukakan dokumen sebagai bukti kerana perlawanan sudah ditetapkan awal,'' kata Saharuddin.
Ahmad Nazib ketika ditanya mengenai ketidakhadiran Aidil menyatakan, anak guamnya tidak sempat hadir kerana mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang pasukan Negeri Sembilan dalam perlawanan Piala Malaysia 2012 malam tadi.
Perlawanan bola sepak tersebut diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.
Ahmad Nazib turut menyerahkan dokumen yang mengesahkan ketidakhadiran anak guamnya itu pada prosiding lalu kerana menjalani latihan bola sepak di Austria dua bulan lalu.
Pada 7 Ogos lalu, Hakim Syarie ketika itu, Wan Mahyuddin Wan Muhammad menasihatkan Aidil supaya lebih mengambil berat terhadap kes yang sedang berjalan di mahkamah bagi mengatasi kemelut rumahtangganya.
Dalam prosiding sebutan hari ini, mahkamah tersebut menetapkan 7 November ini keputusan bantahan awal Rita terhadap permohonan kembali taat yang dikemukakan oleh Aidil.
Saharuddin menetapkan demikian selepas peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Rita memaklumkan, pihaknya sudah memfailkan afidavit balasan terhadap afidavit jawapan Aidil berhubung bantahan tersebut.
Bantahan yang dibangkitkan Rita adalah berhubung kesilapan pada isu tempat pemastautin Aidil yang dikemukakan dalam permohonan tersebut.
Aidil, 25, memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah kembali taat pada 15 Mei lalu supaya Rita, 36, dan dua anak lelaki mereka, Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah yang disediakan oleh Aidil yang terletak di USJ1 di sini.
Pada tarikh tersebut juga, Aidil menarik balik permohonan cerai terhadap Rita atas alasan ingin berbaik semula.
Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Aidil.
Mereka tinggal berasingan sejak lima bulan lalu selepas Aidil dikatakan meninggalkan rumah kelamin mereka di Damansara di sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121004/ma_02/Hakim-tegur-Aidil-gagal-lagi-hadir-perbicaraan-di-mahkamah-syariah#ixzz28KxLKLQA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment