Thursday, October 4, 2012

Pemuda PAS alu-alukan kedatangan Dr Zakir Naik



Harakahdaily,04 Okt 2012
Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan kedatangan tokoh ilmuan perbandingan agama tersohor Dr. Zakir Naik (gambar) ke Malaysia. Kehadiran beliau buat julung-julung kalinya adalah untuk memenuhi undangan bagi satu siri jelajah ceramah bertempat di Shah Alam, Johor Bahru, Kuantan dan Kuala Lumpur bermula dari 29 September sehingga 7 Oktober 2012.

Latarbelakang Dr. Zakir sangat menarik untuk disoroti. Sebelum mengasaskan Islamic Research Foundation (IRF), beliau merupakan seorang profesional perubatan. Pertemuan beliau dengan almarhum Syeikh Ahmad Deedat telah menaikkan semangat beliau untuk mendalami ilmu perbandingan agama. Sebagai presiden IRF, beliau telah mengasaskan Peace TV yang beribu pejabat di Dubai dan sebuah sekolah Islam di Mumbai. Beliau seorang yang aktif menulis dan berucap di sirkit syarahan di seluruh dunia.

Ibarat patah tumbuh hilang berganti, Ummah sebenarnya cukup bertuah kerana kekosongan yang wujud dari pemergian Syeikh Ahmad Deedat ke rahmatullah telah dapat diisi dengan peranan yang dimainkan oleh Dr. Zakir.

Tidak seperti sesetengah pemimpin yang takut untuk berdebat lalu beralasan bahawa debat bukan budaya kita, Dr. Zakir telah mengangkat budaya perdebatan sebagai satu kaedah dakwah yang berkesan. Antaranya ialah debat beliau dengan Dr. William Campbell yang bukan sahaja melonjakkan namanya di dalam arena dakwah tetapi yang lebih penting telah mendekatkan masyarakat khususnya di Barat kepada mesej Islam sebagai sebuah agama fitrah, perdamaian dan saintifik.

Penyampaian beliau yang tepat dan tajam kadangkala diertikan sebagai ekstrem dan prejudis. Hakikatnya beliau bukanlah individu yang partisan dan petah pula berasional dengan sumber al-Quran dan sains di dalam nada bukan apologetik bagi mempertahankan maruah Islam khususnya apabila ada pihak yang cuba menyogokkan persepsi mengenai Islam secara salah. Sebagai personaliti dakwah, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan apabila ada pihak yang mengaitkan komentar tajam beliau sebagai justifikasi jalur pemikiran kumpulan tertentu. Maka di atas alasan-alasan ini, timbul pula sangkaan buruk pihak lain termasuk di Malaysia ketika ini yang tidak senang dengan kehadiran Dr. Zakir ke tanahair lalu bercadang untuk menggagalkan aturcara beliau di sini.

Dewan Pemuda PAS menggesa semua pihak khususnya rakan-rakan kita dari kalangan bukan Islam untuk mengetepikan rasa curiga dan mendengar sendiri universaliti mesej yang dibawa oleh Dr. Zakir. Islam bukanlah satu agama paksaan dan itu jugalah yang sering ditegaskan oleh Dr. Zakir sendiri. Memaksa idea dan sesuatu pendapat sebenarnya adalah satu penghinaan kepada dayaupaya intelektual manusia dan berlawanan pula dengan hikmah dakwah yang bersandarkan kepada prinsip keikhlasan dan kemahuan diri sendiri untuk berubah.

Kami juga berharap generasi muda dapat meluangkan masa untuk hadir sendiri dan mendengar hujah dan pandangan Dr. Zakir secara langsung. Generasi pelapis kita sedang melalui zaman yang amat mencabar dengan kebanjiran hiburan dan amalan budaya hedonisme barat yang menghakis jatidiri dan keunggulan akhlak. Ambil peluang ini untuk mendekati sosok ikon antarabangsa ini, berdialog dan berhujah secara terbuka dengan beliau bagi memantapkan keyakinan diri dan membina kesungguhan untuk berubah dan melakukan perubahan dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Dewan Pemuda PAS ingin mengucapkan tahniah di atas usaha pihak penganjur dan penaja yang telah berusaha membawa Dr. Zakir Naik ke Malaysia. Semoga usaha dakwah anda semua diberkati Allah dan akan membawa kita semua lebih dekat kepada Islam dan taqwa.

Maklumat lanjut mengenai siri syarahan Dr. Zakir Naik boleh didapati dihttp://www.facebook.com/DrZakirNaikMalaysiaTour2012.

Nasrudin Hassan – Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Nik Abduh Nik Abdul Aziz – Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
-Harakah

No comments:

Post a Comment