Thursday, October 4, 2012

Kenduri: Sikit buat Ali terlalu banyak bagi rakyat



Riduan Mohd Nor,04 Okt 2012
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terperinci terhadap dakwaan bahawa agensi kerajaan negeri Melaka dikerahkan bagi menjayakan majlis perkahwinan anak sulung Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Dokumen mengandungi maklumat mesyuarat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) membincangkan persiapan logistik majlis perkhwinan tersebut telah dibocorkan oleh pihak tertentu.

Minit mesyuarat tersebut juga menyebut jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat dan ia juga menyatakan tiada bil perlu dituntut daripada ketua menteri dan semuanya percuma.

Malah, DPPM dimaklumkan pihak Ketua Menteri itu mengakui majlis tersebut di taja sebanyak RM10 bagi setiap tetamu.

DPPM hairan bagaimana begitu istimewanya Datuk Seri Mohd Ali Rustam di sisi kerajaan negeri.

Meskipun beliau adalah ketua negeri terbabit, ini tidak bermakna beliau boleh sesuka hati menggunakan agensi dan jabatan kerajaan negeri untuk keperluan dirinya.

Sepatutnya beliau menunjukkan contoh teladan kepada rakyat bahawa seorang pemimpin sanggup mengutamakan rakyat dari dirinya sendiri.

Majlis perkahwinan beliau adalah majlis peribadi yang perlu ditanggung oleh diri dan keluarganya sahaja, dan tidak perlu dibabitkan jabatan kerajaan di bawah tanggungannya.

Jika majlis itu ditaja, siapa pula penajanya dan adakah penaja majlisnya tiada kaitan langsung dengan projek kerajaan negeri?

Dalam keadaan rakyat yang masih ramai hidup di bawah paras kemiskinan, beliau pula sanggup menghabiskan enam ratus ribu ringgit untuk majlis selama lapan jam dengan kehadiran seramai 100,000 orang.

Mungkin bagi Datuk Seri Mohd Ali jumlah itu terlalu sedikit, namun ia terlalu banyak bagi rakyat jelata.

Apakah ini suatu manifestasi amalan wassatiyyah (bersederhana) seperti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri?

DPPM bimbang amalan rasuah serta penyalahgunaan kuasa sudah menjadi suatu budaya pada pemimpin negara.

Amalan bershopping sakan, bermewah-mewahan serta mengadakan kenduri keluarga secara melampau seperti ini mengundang pembaziran di samping rasuah yang membarah.

Malah pemimpin-pemimpin negara dengan selamba menggunakan seluruh kuasa dan agensi di bawahnya untuk kepentingan peribadi mereka tanpa rasa bersalah.

Rakyat pula dikerah sehabis mungkin bekerja dan bertugas untuk majlis peribadi pemimpin sedangkan pemimpin tidak pernah memikirkan masalah rakyat di bawahnya.

SPRM perlu membuktikan mereka benar-benar telus, tegas dan amanah dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Membanteras rasuah bukan hanya setakat kepada rakyat bawahan, tetapi mesti dimulakan dari pemimpin atasan.

Pemimpin negara yang menyuburkan rasuah sehingga rakyat sebati dengannya, ibarat kata pepatah Cina: ikan busuk bermula dari kepala.

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.
-Harakah

No comments:

Post a Comment