Rofaie (duduk dua kanan) bersama rombongan Pemuda Umno Temerloh
Rofaie (duduk dua kanan) bersama rombongan Pemuda Umno Temerloh yang menziarahi keluarga Muhammad Hazim di Taman Indera Sigera di sini semalam.
TEMERLOH – Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Abu Bakar di sini terpaksa melupakan hasrat untuk ke sekolah selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap tiga dua bulan lalu.

Muhammad Hazim Ibrahim, 16, disahkan doktor menghidap kanser itu selepas diserang pelbagai penyakit termasuk kudis di seluruh badan, batuk berpanjangan dan badan berasa panas sejak Januari lalu.

Bapanya, Ibrahim Mamat 58, berkata, pada mulanya dia dan isteri Norma Ahmad 52, menyangka anak kesembilan daripada 12 adik-beradik itu hanya mengalami penyakit biasa.

Menurutnya, selepas tiga bulan batuk, dia dan isteri membawa Muhammad Hazim mendapatkan rawatan di sebuah klinik homeopati di bandar Temerloh dan mula mengesan adanya sel kanser yang menyerang Muhammad Hazim.

“Kami kemudian merujuk di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) dan di situ kami menerima pengesahan doktor mengenai penyakit anak kami.

“Kami membawa pulang Muhammad Hazim bagi mencuba rawatan alternatif dengan mengambil produk berasaskan vitamin B17.

“Kos rawatan alternatif terlalu mahal dan adakalanya kami terpaksa menyediakan wang hampir RM5,000 setiap bulan,” katanya sewaktu ditemui di rumahnya dekat Taman Indera Sigera di sini.

Ibrahim yang juga menghidap sakit saraf berkata, dia akan berusaha mengubati penyakit anaknya itu dengan pelbagai kaedah alternatif selepas ini.
Menurutnya, anak sulungnya telah meninggal dunia akibat penyakit yang sama ketika umurnya 17 tahun kira-kira 14 tahun lalu. Kepada sesiapa yang ingin membantu boleh berhubung dengan abang Muhammad Hazim iaitu Mohd Abi Rafdi di talian 017-9554340.

Sementara itu Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Temerloh, Rofaie Md Hamdan bersama rombongan yang hadir menziarahi keluarga Muhammad Hazim berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan bantuan berkaitan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Ini adalah salah satu usaha kami untuk membantu keluarga ini dan kami harap pihak JKM dapat menerima permohonan bantuan untuk membantu meringankan beban Muhammad Hazim,” katanya semalam.