Sunday, October 7, 2012

SALAM 6 OKTOBER



Sejak 30 tahun yang lalu, dua nama besar yang berjasa dalam Peperangan 6 Oktober 1973 antara Mesir-Israel ditenggelamkan oleh Mubarak bahkan setiap kali menjelang ulangtahun perayaan 6 Oktober, televisyen Mesir akan menyiarkan Mubarak sebagai wira utama peperangan tersebut sedang Mubarak ketika itu hanya sebagai Ketua Unit Angkatan Tentera Udara Mesir.

Dua nama besar yang dilupakan itu ialah Presiden Mesir ketika itu, Anwar Sadat (gambar kanan) dan Ketua Turus Angkatan Bersenjata negara, Sa'aduddin Syazli (gambar kiri) yang memainkan peranan utama dalam perang tersebut.

Menjelang sambutan ulangtahun ke-39 peperangan tersebut, Presiden Dr.Muhammad Mursi telah menganugerahkan Pingat Kebesaran Nil, anugerah tertinggi negara kepada dua tokoh tersebut yang diterima oleh kedua-dua balu dalam satu majlis ringkas di istana Presiden. Ia merupakan satu penghargaan yang tidak pernah dikurniakan pada zaman Mubarak. Balu Sa'duddin Syazli yang diiringi oleh anak perempuannya kelihatan sebak menerima anugerah buat suaminya. Sambil ditenangkan oleh Mursi sambil berkata, "Ini anugerah biasa berbanding jasa beliau kepada negara". Turut menerima pingat tersebut ialah balu Anwar Sadat, Jehan Sadat.

Setelah berlalu lebih 3 dekad, semalam seorang peguam, Dr.Sameer Sobri mewakili anak perempuan Sadat, Ruqayyah Sadat mendakwa pembunuhan Anwar Sadat sebenarnya didalangi oleh Mubarak. Terlalu banyak bukti menurut Sobri yang boleh mengaitkan pembunuhan Sadat yang berlaku sewaktu sambutan ulangtahun 6 Oktober 1981 sedang berlangsung, adalah perancangan Mubarak.

Salam ulangtahun "6 Oktober" untuk semua..
 

No comments:

Post a Comment