Rayuan Abu Hamza tidak diekstradisi gagal
Abu Hamzah dibicarakan di Mahkamah Tinggi AS.
NEW YORK - Pemimpin radikal Islam, Abu Hamza muncul di Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi tuduhan melakukan keganasan selepas rayuan beliau di Mahkamah Tinggi Britain untuk menghalang diekstradisi dari Britain ke Amerika Syarikat ditolak.

Hamzah , 54, bersama pengikutnya, Khaled Al-Fawwaz, Syed Tahla Ahsan, Adel Abdul Bary dan Babar Ahmad dihadapkan ke  mahkamah bagi menghadapi pertuduhan melakukan keganasan.

Sejurus rayuan ditolak, Hakim Mahkamah Tinggi Britain, John Thomas mengarahkan mereka menjalani proses ekstradisi dengan segera.

Dua hakim di mahkamah itu juga menolak permohonan Hamza, yang menuntut tidak diekstradisi atas alasan mahu menjalani ujian perubatan bagi menilai kesihatannya untuk dibicarakan di Amerika Syarikat.

Kesemua tertuduh diterbangkan dari Pangkalan Tentera Udara Suffolk dengan dua pesawat berasingan.

Hamza menghadapi 11 tuduhan berkaitan melakukan tebusan, pembunuhan dan berkonspirasi menubuhkan kem latihan militan sebagai persediaan perang jihad di Afghanistan. - AFP