Saturday, January 26, 2013

Serangan Mumbai, warga AS dipenjara 35 tahun



CHICAGO 25 Jan. - Seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) yang mengaku membuat kerja-kerja risikan ke atas tempat sasaran menjelang serangan Mumbai 2008 dan kemudiannya bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa AS bagi mengelak dikenakan hukuman mati, dijatuhi hukuman penjara selama 35 tahun, semalam.
David Coleman Headley, 52, mengaku bersalah pada 2010 atas 12 tuduhan berkaitan serangan itu dan satu komplot untuk menyerang akhbar Denmark yang mencetuskan kemarahan berikutan penyiaran karikatur Nabi Muhammad SAW dalam akhbar itu.
Dia menyakinkan pendakwa raya persekutuan AS bagi mengelakkannya dijatuhi hukuman mati dengan memberitahu mereka semua perkara yang dipelajarinya selama tujuh tahun bekerja dengan militan Pakistan.
Bekas peguam negara AS, Patrick Fitzgerald yang mengusulkan persetujuan bekerjasama itu berkata, maklumat yang diberikan oleh Headley telah 'menyelamatkan banyak nyawa', ketika beliau menggesa Hakim Harry Leinenweber supaya berlembut dalam menjatuhkan hukuman daripada mengenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup.
Namun, ketika menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun itu, Leinenweber memberitahu Headley yang beliau sebenarnya lebih suka mengenakan hukuman mati ke atas Headley kerana itu yang layak dikenakan ke atasnya.
Leinenweber berkata, meskipun kerosakan yang dilakukan Headley membawa kesan 'yang terlalu besar', beliau memutuskan untuk memenuhi permintaan kerajaan yang mencadangkan hukuman penjara antara 30 hingga 35 tahun kerana hukuman itu juga tidaklah ringan memandangkan usia Headley ketika ini.
Dalam serangan Mumbai 2008, sekumpulan militan bersenjata berat melancarkan serangan di bandar raya itu selama tiga hari, menyebabkan 166 orang maut dan beratus-ratu lagi cedera.
Sementara itu, Menteri Luar India, Salman Khurshid hari ini berkata, Headley sepatutnya dikenakan hukuman lebih berat dan menegaskan bahawa New Delhi masih mahu supaya dia diekstradisi ke negara itu.
"Jika kami yang membicarakannya, kami akan mengenakan hukuman yang lebih berat, tetapi hakim AS terikat dengan sistem kehakiman negara itu, kata Khurshid kepada rangkaian televisyen CNN-IBN.
Pada November lalu, India menjatuhi hukuman mati ke atas seorang lelaki keturunan Pakistan, Mohammed Ajmal Kasab, satu-satunya anggota militan yang melancarkan serangan itu yang masih hidup. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130126/lu_06/Serangan-Mumbai-warga-AS-dipenjara-35-tahun#ixzz2J2IYcORn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment