NABLUS - Pusat perubatan Palestin, kelmarin mengumumkan lagi kejayaan mereka menjalankan permanian beradas dengan cara menyeludup keluar sperma milik beberapa tahanan di penjara Israel.

Ketua klinik kesuburan Razan di Nablus, Dr Salim Abu Khaizaran berkata, beliau memperoleh 40 sampel dan seramai 22 isteri tahanan Palestin sudah menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).

"Pada masa ini, lima disahkan hamil termasuk seorang wanita selamat melahirkan anak awal tahun lalu. Bagaimanapun, kadar kejayaan prosedur itu masih rendah kerana sukar untuk menyeludup keluar sperma dengan selamat," jelasnya.

Beliau turut memberi perkhidmatan percuma tanda perpaduan dengan tahanan Palestin. 

Ogos lalu, seorang bayi lelaki selamat dilahirkan di hospital di Nablus melalui pembedahan hasil daripada sperma milik tahanan, Ammar Ziben yang pertama kali diseludup keluar dari penjara Israel.  - AP