Saturday, February 9, 2013

Tiga beradik harap dapat ke sekolah




BASIR (dua dari kanan) menyerahkan bantuan kepada Sanudin sambil disaksikan oleh Samila dan tiga anak mereka di Taman Kota Puteri, Masai, Pasir Gudang semalam.


JOHOR BAHRU - Akibat kesempitan hidup, tiga beradik berusia lima hingga tujuh tahun terpaksa melupakan hasrat untuk bersekolah seperti rakan sebaya lain.
Hanya dengan pendapatan RM300 sebulan, ibu mereka, Samila Hussin, 36, tidak mampu untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah meskipun sedar ketiga-tiga mereka mempunyai minat mendalam untuk belajar.
Lebih menyedihkan, dengan pendapatan sekecil itu jugalah, Samila harus menanggung suaminya, Sanudin Abd. Rahim, 58, yang kini mengalami lumpuh sejak 10 bulan lepas.
"Kerana minat mendalam, anak sulung saya yang berusia tujuh tahun sudah pandai membaca walaupun tanpa bantuan daripada sesiapa. Dia sentiasa menunjukkan minat untuk bersekolah.
"Anak kedua saya pula pernah termimpi-mimpi pergi ke sekolah, manakala anak bongsu yang berusia lima tahun juga menyuarakan hasrat untuk bersekolah," ceritanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Pengerusi Badan Perhubungan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pasir Gudang, Basir Beran di rumah mereka di Taman Kota Puteri, Masai di sini semalam.
Menurut Samila, sejak suaminya diserang lumpuh, dia hanya memperoleh pendapatan dengan mengambil upah menjaga anak jirannya.
Dia mendakwa, suaminya yang pernah bekerja sebagai ejen pembantu rumah dan kontraktor pernah ditipu beberapa kali hingga terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.
"Sejak suami sakit, anak-anak sentiasa faham dan tidak pernah meminta lebih-lebih, namun saya selalu menasihatkan mereka agar sentiasa bersabar," katanya.
Sementara itu, Basir berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan berterusan bagi membantu meringankan bebanan keluarga malang tersebut.
Katanya, masalah yang dialami keluarga Samila akan dipanjangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pasir Gudang untuk mendapatkan pelbagai jenis bantuan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2KM1foLMm 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment