Saturday, February 9, 2013

Padah terlibat aktiviti pengganas




YAZID (tengah) dikawal ketat ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA – Seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, masing-masing atas tuduhan menggalakkan keganasan dan juga bersubahat, dengan niat mengugut orang awam di Syria, tahun lalu.
Namun tiada pengakuan direkodkan daripada Yazid Sufaat, 49, dan Halimah Hussein, 52.
Yazid sebelum ini pernah ditahan di bawah Akta ISA pada 2001 kerana disyaki terlibat dengan Jemaah Islamiyah dan Al-Qaeda namun dibebaskan pada 2008. Dia kemudian membantu isterinya mengusahakan perniagaan makanan di kantin Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Dia yang memakai baju lokap oren dituduh menggalakkan perlakuan keganasan dengan niat untuk memajukan satu ideologi atau fahaman bagi mengugut orang awam di Syria.
Manakala Halimah yang hadir dengan berpakaian dan bertudung labuh warna hitam dituduh bersubahat dengan Yazid.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya di sini antara pukul 8.30 pagi dan 10.30 pagi, antara 1 Ogos hingga 20 Oktober 2012.
Yazid didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) sementara Halimah juga didakwa di bawah seksyen yang sama namun dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama kerana bersubahat.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara 30 tahun atau denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memaklumkan tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin di bawah Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dan memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Majistret Zulyana Zollkapli membenarkan permohonan tersebut.
Terdahulu, prosiding kes terpaksa ditangguhkan hampir 20 minit selepas berlaku pertelingkahan antara pihak pendakwa dan peguam bela Amer Hamzah Arshad mengenai tarikh sebenar penguatkuasaan Seksyen 130G (a) yang baru dipinda dalam Kanun Keseksaan.
Mahkamah yang kembali bersidang kemudian merekodkan jawapan Mohamad Hanafiah bahawa tarikh penguatkuasaan Seksyen 130G(a) adalah pada 6 Mac 2007.
Yazid dan Halimah adalah individu pertama yang didakwa di bawah seksyen itu dan masing-masing ditahan di Penjara Sungai Buloh serta Penjara Kajang sehingga tarikh sebutan di Mahkamah Tinggi ditetapkan.
Mereka adalah antara tiga individu yang ditahan di ibu negara kelmarin dipercayai terlibat dalam merekrut rakyat Malaysia untuk tujuan keganasan. Salah seorang masih ditahan di Bukit Aman untuk siasatan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2KM1tOnWu 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment