Monday, March 18, 2013

Aquino kritik dalang ceroboh Sabah




AQUINO (tengah) tiba pada majlis tamat latihan anggota-anggota kadet Akademi Tentera Filipina di bandar Baguio semalam.


MANILA - Presiden Filipina, Benigno Aquino III semalam bertindak mengkritik dalang yang mencetuskan ketegangan di Lahad Datu, Sabah, lapor akhbar dalam talian Rappler.com.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan majlis tamat latihan 124 orang kadet di Akademi Tentera Filipina di bandar Baguio.
Aquino melemparkan kritikan terbaharunya itu terhadap mereka yang merancang operasi menawan Sabah apabila pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III menghantar kira-kira 180 hingga 400 pengikutnya pada Februari lalu.
Beliau membidas Jamalul Kiram dan mendakwa tindakannya itu sebahagian daripada konspirasi.
Biro Siasatan Kebangsaan (NBI) telah memulakan siasatan dan bertindak menghantar sepina kepada jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani bagi memberi keterangan berhubung siasatan konspirasi di Sabah.
Bagaimanapun, Idjirani tidak hadir sebaliknya memberikan surat mengenai sebab dia tidak dapat datang untuk memberikan keterangan pada minggu lalu.
Penasihat Jamalul Kiram, Pastor 'Boy' Saycon turut dipanggil dan telah memberikan keterangan kepada para pegawai NBI.
Dalam ucapannya itu, Aquino mengkritik Jamalul Kiram kerana pentingkan diri sendiri dan menjadi punca kepada semua masalah yang berlaku.
"Adakah dalang-dalang terbabit berfikir bahawa tindakan mereka akan menjejaskan penduduk majoriti?" tanya Aquino.
Menurut Presiden itu, tindakan Jamalul Kiram telah menyebabkan kira-kira 800,000 nyawa rakyat negara ini di Sabah dalam keadaan bahaya.
"Adakah dalang-dalang tersebut menimbangkan sebarang perkara itu semasa melakukan hasutan dan membesar-besarkan situasi semasa mereka mengumpulkan dana yang diperlukan untuk membeli bot, minyak, makanan, senjata dan peluru?
"Kamu (semua kadet itu) sepatutnya tahu fakta itu menerusi kelas logistik. Kamu mengetahui berapa banyak persediaan yang diperlukan untuk menghantar 200 orang bagi menyeberangi laut dan melengkapkan mereka dengan senjata. Apa yang difikirkan mereka di sebalik insiden itu?," katanya.
Beliau berkata, sebagai penjaga keamanan negara, anggota-anggota tentera tidak sepatutnya membiarkan emosi mempengaruhi pertimbangan mereka.
Presiden itu berkata, pendekatan yang dilakukan Jamalul Kiram bagi menuntut Sabah dengan kekerasan tidak akan menyelesaikan isu dengan Malaysia tetapi hanya akan meningkatkan konflik itu.
"Masalah akan menjadi lebih banyak masalah jika anda cuba untuk menyelesaikannya dengan cara paksaan dan kebencian.
"Kita memerlukan keikhlasan dan perbincangan yang mendalam jika kita mahu untuk mencapai penyelesaian yang betul.
"Kita tahu betapa kompleksnya isu ini. Adakah Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Tun Razak) dengan mudah akan memberikan Sabah (kepada Filipina) yang telah lama berada di bawah pemerintahan negara itu?," soalnya.
Aquino berkata, sesiapa yang menjadi dalang dengan merancang untuk memulakan krisis itu di Sabah sepatutnya menggunakan pendekatan berlandaskan undang-undang dan keamanan.
Krisis di Sabah itu bermula apabila sekumpulan pengikut Jamalul Kiram menuntut tanah yang dianggap sebagai warisan nenek moyang mereka di Lahad Datu.
Pertempuran kemudian meletus dengan mengakibatkan sejumlah kematian selepas para pengganas tersebut bertempur dengan pasukan keselamatan Malaysia sejak Februari lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0318&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2Nu1qumaM 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment