Kuala Lumpur: Terpedaya dengan janji seorang wanita warga Filipina yang ingin berkahwin dengannya menyebabkan seorang lelaki warga Jepun datang ke Malaysia sebelum dia diculik dan dikurung dalam sebuah kondominium di Kajang.
Malah, mangsa berusia 51 tahun turut diminta menghubungi keluarganya meminta mereka membayar wang tebusan AS$50,000 (RM155,825) jika mahu dibebaskan.
Bagaimanapun, dia berjaya diselamatkan polis yang menyerbu kondominium terbabit dan menahan tiga lelaki warga Nigeria dan dua wanita warga Filipina, jam 9 malam kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa yang juga jurutera mengenali teman wanitanya melalui ruangan sembang di laman web beberapa bulan lalu.
Menurutnya, wanita terbabit berusia 30 tahun mengajak dia berkahwin dan meminta mangsa datang ke Malaysia untuk berjumpa menyebabkan dia bersetuju dan datang ke sini pada 12 Mac lalu.
“Bagaimanapun, mangsa yang tidak tahu dirinya diperangkap terkejut sebaik tiba ke sini apabila dia ditahan tiga lelaki tidak dikenali bersama teman wanitanya dan seorang lagi wanita.
“Mereka membawanya ke sebuah kondominium dan mengurungnya. Mangsa yang ketakutan merayu dilepaskan namun suspek mengarahkannya membayar wang tebusan jika ingin dilepaskan,” katanya.
Ku berkata, mereka juga memaksa mangsa menghubungi ahli keluarganya dan membayar wang tebusan itu melalui akaun bank di Filipina.
“Bagaimanapun, polis yang menerima maklumat kejadian itu membuat risikan sebelum menyerbu dua kondominium di tempat sama.
“Kami juga berjaya menyelamatkan mangsa, bagaimanapun seorang suspek lelaki cuba menyerang polis menyebabkan kami melepaskan tembakan dan mengenai kaki kanannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment