18 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Said Hamdan akan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kes saman berkaitan dakwaan salah guna kuasa menteri besar itu, empat tahun lalu.
Permohonan maaf itu dijangka direkod di Mahkamah Tinggi di sini esok di hadapan Hakim Lau Bee Lan.
Abdul Khalid semalam berkata kepada media, pihaknya bersyukur ekoran persetujuan pihak berkenaan untuk memohon maaf secara terbuka ekoran kenyataan yang dikeluarkan mereka berkaitan penyelenggaraan kereta peribadinya, dan pembelian 46 ekor lembu untuk sambutan Hari Raya Korban bagi kawasan Bandar Tun Razak pada tahun 2009.
Menurutnya, permohonan maaf secara terbuka itu sekali gus menamatkan kes saman terhadap Ahmad Said, SPRM dan Kerajaan Malaysia.
Menteri besar berkata, tuduhan salah guna kuasa itu tidak berasas dan mencemarkan nama baiknya sebagai seorang Muslim dan menteri besar.
"SPRM dan pihak polis perlu jalankan tugas secara profesional kerana sebagai menteri besar saya amat menitikberatkan integriti dan ketelusan," katanya.
Menurutnya, sepanjang lima tahun pentadbiran pemimpin Pakatan Rakyat, tiada seorang pun pegawai kanan kerajaan dan Exco Selangor dikaitkan dalam kes rasuah.
"Saya percaya ia akan menjadi elemen pertama kepada rakyat dalam pilihan raya umum tidak lama lagi," katanya.
Pada 27 April 2009 Abdul Khalid mengemukakan saman tersebut dengan menamakan Ahmad Said, SPRM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Saman dikemukakan ekoran Ahmad Said telah membuat kenyataan mengenai hasil siasatan suruhanjaya itu berhubung penyalahgunaan kuasa oleh Abdul Khalid berhubung penyelengaraan bagi kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu bagi Hari Raya Aidiladha untuk kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakili Abdul Khalid.
Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Khalid mendakwa perkataan memfitnah yang dikeluarkan oleh Ahmad Said telah menyebabkannya diterbitkan oleh media, berniat untuk merendahkan kapasitinya secara peribadi dan rasmi.
Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Khalid mendakwa perkataan memfitnah yang dikeluarkan oleh Ahmad Said telah menyebabkannya diterbitkan oleh media, berniat untuk merendahkan kapasitinya secara peribadi dan rasmi.
No comments:
Post a Comment