Monday, March 18, 2013

Saham: Rakyat Selangor jadi ‘tauke’ industri air



Selangorku, 16 Mac 2013

SHAH ALAM: Rakyat Selangor bakal menjadi ‘tauke’ dalam industri air Selangor apabila kerajaan negeri menerbitkan saham air satu hari kelak, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.



Menurut Abdul Khalid, langkah perkongsian kerajaan dan rakyat dalam industri strategik itu boleh dilaksanakan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebelum ini.



“Semasa saya di PNB, sembilan juta bumiputera beli saham amanah PNB dengan nilai RM40 bilion.



“Saya yang lakukan bukan Tun Dr Mahathir (Mohamad),” ujar beliau pada Majlis Penyampaikan Cek Sekolah-sekolah Tamil Negeri Selangor.



Pada 6 Mac lalu, Abdul Khalid mengumumkan kerajaan negeri akan menerbitkan saham air Selangor sekiranya ia berjaya mengambil alih pengurusan industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.



Kerajaan negeri sudah menawarkan RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsensi yang bertanggungjawab mengurus industri air Selangor.



Empat syarikat tersebut adalah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash).

No comments:

Post a Comment