Monday, March 18, 2013

Warga Myanmar bersesak dalam bot 18 hari ke Malaysia


Warga Myanmar bersesak dalam bot 18 hari ke Malaysia

Sebahagian daripada 87 pendatang tanpa izin Myanmar termasuk wanita dan kanak-kanak yang ditahan ketika mendarat di Perairan Bagan Sungai Burong. - FotoMohd Shumor Mohd Amin
Sungai Besar: Dengan hanya bermodalkan RM350 seorang, seramai 87 pendatang asing dari Myanmar sanggup bersesak dalam bot kecil mengharungi lautan lebih 18 hari untuk mencari pekerjaan di Malaysia.

Bagaimanapun, hasrat mereka gagal selepas ditahan polis Sabak Bernam sejurus mendarat di kawasan perairan Sabak Bernam dekat sini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohamad, berkata pendatang asing dari Myanmar itu termasuk tujuh wanita, tujuh kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, ditahan dekat Bagan Sungai Burong.

Operasi cegah jenayah

“Anggota polis sedang menjalankan operasi pencegahan jenayah di Jalan Tujuh, Bagan Sungai Burong, dekat sini sebelum dimaklumkan mengenai kehadiran ramai orang dipercayai pendatang di kawasan pantai,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pendatang tanpa izin Myanmar berusia antara tujuh hingga 30 tahun itu dipercayai menyeludup masuk dengan menggunakan bot selepas 18 hari mengharungi lautan.

Noor Mushar berkata, polis bagaimanapun gagal mengesan tekong dan bot yang digunakan untuk menyeludup pendatang asing berkenaan ke negara ini.
Lima hari tak makan

“Ketika ditahan, pendatang berkenaan kelihatan tidak bermaya dan ada yang menyatakan sudah lima hari tidak menjamah makanan ketika dalam perjalanan ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati pendatang tanpa izin itu membayar RM350 kepada pihak tertentu bagi menaiki bot membawa mereka ke negara ini bagi mendapatkan pekerjaan.

“Tiada seorang pun daripada mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan pihak kami akan menyerahkan pendatang terbabit kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

cotation: Tiada seorang pun daripada mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan pihak kami akan menyerahkan pendatang terbabit kepada Jabatan Imigresen” Noor Mushar Mohamad, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam.

No comments:

Post a Comment