SHAH ALAM 2 APRIL : Bekas Ketua Daerah Sandakan, Hassnar Ibrahim yang mendedahkan skandal projek Kad Pengenalan (IC) dan rusuhan di Sabah pada tahun 80-an, hilang tanpa dapat dikesan.
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), pengarah propaganda Edy Noor Reduan memaklumkan Hassnar dan isteri tidak dapat dikesan lebih dari 24 jam selepas menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur pada hari Ahad lalu.
Katanya, SAMM melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan Hassnar dan isteri akibat pendedahannya yang menyebut mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai dalang pemberian IC kepada warga asing di Sabah.
Sehubungan itu, satu laporan polis akan dibuat oleh SAMM di Balai Polis Jalan Pantai Baharu pada jam 5.30 petang ini.
Laporan sebelum ini menyebut Hassnar sebagai mendakwa Dr Mahathir adalah dalang “projek IC” di Sabah yang diberikan kepada seramai 130,000 pendatang tanpa izin pada tahun 1985.
Beliau mendakwa Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Megat Junid Megat Ayob sendiri mengakui Dr Mahathir meluluskan projek tersebut dengan alasan untuk ‘mengimbangi penduduk perbezaan bangsa dan agama di Sabah’.
Hassnar turut mengakui menandatangani puluhan ribu borang kosong bagi membolehkan pendaftaran IC, walaupun baru tiga hari dilantik menyandang jawatan berkenaan pada 1982.
Beliau menandatangani borang kosong HNR3 iaitu dokumen untuk pengesahan kelahiran bagi membolehkan seseorang mendapat kad pengenalan tanpa mengetahui nama dan butiran yang akan diisi.
Beliau percaya, ada 800,000 warga Filipina keturunan Sulu yang dijadikan warganegara Malaysia dengan sebahagiannya diberi kerakyatan melalui Projek IC.
Hassnar ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1988 selama dua bulan, kemudian sebagai tahanan rumah selama dua tahun di Sandakan bermula 6 September 1998.
Selain itu, beliau turut mendakwa rusuhan tersebunyi yang berlaku pada tahun 1986 di Kota Kinabalu Sabah merupakan perancangan Dr Mahathir selepas kekalahan BN.
Rusuhan selama 48 hari itu mengakibatkan letupan bom, pembakaran masjid dan menyebabkan lima terbunuh - MediaSelangorKu
No comments:
Post a Comment