Thursday, April 4, 2013

BN Terengganu tambah bantuan kewangan jika menang PRU13


AHMAD SAID
AHMAD SAID
KUALA TERENGGANU - Pengantin baharu yang berkahwin selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan menerima wang bantuan RM1,000 manakala mereka yang menimang anak pertama pula diberi bantuan RM500.

Itu antara kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu yang akan diumum Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Said dalam masa terdekat, bagi menghadapi PRU13.

Amnya BN Terengganu menjanjikan bantuan tambahan kepada rakyat terutama warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya, kata Timbalan Pengerusi Umno Terengganu Datuk Yahya Khatib Mohamad kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurutnya bantuan kewangan tambahan itu dibuat berdasarkan pendapatan Terengganu yang dianggar RM2 bilion setahun.

"Walaupun kita akan menambah dana kewangan itu, manifesto BN Terengganu masih realistik dan menepati perumpamaan 'ukur baju di badan sendiri'," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai tambahan bantuan kewangan tersebut.

Setakat ini, Terengganu menyalurkan pelbagai bantuan kepada anak negeri termasuk Dana Bakti Remaja dan Dana Raya bagi meraikan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

Kira-kira 95,000 remaja di Terengganu mendapat manfaat daripada Dana Bakti Remaja yang melibatkan peruntukan hampir RM24 juta pada tahun lepas.

Yahya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Terengganu, turut mengumumkan peruntukan antara RM100,000 dan RM200,000 kepada Jabatan Kehakiman Syariah bagi membela nasib ibu tunggal jika BN masih diberi mandat pada PRU13 nanti.

"Sebelum ini, peruntukan hanya disalurkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), namun saya berjanji bantuan ibu tunggal akan disalurkan kepada jabatan ini nanti," katanya.

Pada 2011, Jabatan Kehakiman Syariah menerima RM700,000 daripada Maidam dan kerajaan pusat sebagai sumbangan nafkah bulanan kepada ibu tunggal yang diabaikan bekas suami. 

Bantuan selama enam bulan itu perlu dibayar semula oleh bekas suami kepada jabatan untuk memastikan mereka menjalankan tanggungjawab kepada bekas isteri dan anak jika ada. - Bernama

No comments:

Post a Comment