Seorang pegawai yang terlibat dalam raptai urusan pengendalian jenazah berkata, raptai diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam untuk melihat pergerakan jenazah ketika tiba pada Jumaat ini.
“Kami akan melihat dari semua sudut yang perlu diperbaiki dan diperkemas untuk memastikan majlis istiadat penghormatan penerimaan jenazah berjalan lancar,” katanya.
Kumpulan pertama jenazah mangsa penerbangan MH17 akan tiba pada Jumaat kira-kira 10 pagi dengan sebuah pesawat khas dari Amsterdam.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dijangka berangkat ke istiadat berkenaan yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, jemaah menteri, menteri besar dan ketua menteri serta keluarga mangsa.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 22 Ogos sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan kumpulan pertama jenazah mangsa nahas MH17.
Sementara itu, tinjauan di Kompleks Bunga Raya mendapati raptai yang dijalankan untuk melihat pergerakan jenazah dari kedua-dua pintu kargo pesawat ke van jenazah.
Anggota tentera dilihat mengusung keranda dan bekas abu khas yang ditutup dengan Jalur Gemilang dari pintu kargo pesawat sebelum ditempatkan dalam van jenazah.
“Kami cuba beberapa senario termasuk menggunakan satu pintu kargo atau kedua-dua pintu kargo ketika ketibaan keranda.
Semua ini akan diperkemas lagi,” kata pegawai itu.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, 300 anggota di bawah naungan 12 Briged Infantri Malaysia akan terlibat dalam istiadat itu.
“Empat helikopter akan menerbangkan jenazah di Semenanjung Malaysia manakala dua pesawat C-130 Hercules untuk menerbangkan jenazah ke Sarawak,” kata jurucakap ATM.
Pada Jumaat lalu, Muhyiddin mengumumkan kumpulan pertama jenazah yang terdiri daripada 15 rakyat Malaysia dan seorang warga Belanda dalam tragedi pesawat penerbangan MH17 akan tiba di KLIA.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong pula berkata, 22 jenazah termasuk empat bekas berisi abu mayat mangsa dijangka dihantar pulang dari Amsterdam.
Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal itu dipercayai ditembak jatuh, namun sehingga hari ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
– BERNAMA
– BERNAMA
LIMA anggota tentera yang menyertai raptai penerimaan jenazah di Sepang, semalam.
No comments:
Post a Comment