Tuesday, August 19, 2014

Buruh rayu sumbangan bedah jantung songsang


Georgetown: Seorang bapa hanya bekerja sebagai buruh merayu kepada orang ramai agar menghulurkan sumbangan bagi menampung kos pembedahan anak bongsunya kini berusia sebulan yang menghadapi masalah saluran jantung songsang.
Budi Mohd Nur, 38, dari Lunas, Kedah berkata, masalah dihadapi Muhamad Ashraf itu dikesan doktor yang melakukan pemeriksaan lima hari selepas bayinya dilahirkan.
Katanya, dia dan isterinya, Yulius Tini Susarno, 34, tidak berkemampuan membiayai kos pembedahan Muhamad Ashraf dianggarkan berjumlah RM60,000.
“Doktor memaklumkan pembedahan akan dilakukan tidak lama lagi, sedangkan kami tidak mempunyai jumlah kewangan untuk membayar kos setinggi itu.
“Saya dan isteri merasa sedih kerana tidak dapat mengendong Muhamad Ashraf, sejak dia dilahirkan berikutan memerlukan pemantauan rapi dan ditempatkan dalam inkubator sepanjang masa,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Gleneagles di sini, semalam.
Bapa malang itu berkata, berat Muhamad Ashraf menyusut kira-kira satu kilogram (kg) minggu lalu berbanding 3.06 kg ketika dilahirkan dan kini bayi terbabit ditempatkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut.
Turut berkongsi rasa sedih terhadap nasib menimpa Muhamad Ashraf, adalah abang dan kakaknya iaitu Siti Alya Mesarah, 10, Muhammad Adam, 7, dan Muhamad Arif, 6, kerap bertanyakan mengenai perkembangan adik mereka.
“Gelagat tiga lagi anak kami itu menyebabkan isteri saya bertambah sedih memikirkan nasib Muhamad Ashraf.
Kami tidak sanggup melihat penderitaannya yang terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan ubat.
“Saya bekerja sebagai buruh dan melakukan kerja kampung secara sambilan namun pendapatan bulanan sebanyak RM1,600 sebulan tidak cukup untuk menampung kos pembedahan, kami berharap sumbangan orang ramai dapat memberikan peluang kepada Muhamad Ashraf, menjalani kehidupan secara normal pada masa akan datang,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghantar cek melalui tabung NSTP, Bahagian Kewangan/Unit Kebajikan, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, No 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.raf
Foto
BUDI dan Yulius menunjukkan gambar anak bongsu mereka, Muhamad Ashraf.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19

No comments:

Post a Comment