Tuesday, August 19, 2014

Laluan Wan Azizah jadi MB berliku


SHAH ALAM - Laluan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor baharu tetap berliku kerana dikhabarkan pencalonan beliau tidak mendapat perkenan pihak istana.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, ketiadaan perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menjadi alasan penolakan pencalonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim oleh kepimpinan Pas negeri sebelum ini.
"Pas Selangor tolak sebelum ini bukan sebab Datuk Seri Wan Azizah itu wanita tetapi kita dimaklumkan pencalonan beliau tidak mendapat perkenan Tuanku (Sultan Sharafuddin).
"Namun, kita akur dengan keputusan Pakatan Rakyat (PR) semalam (kelmarin) untuk tetap menamakan beliau. Mungkin ini percubaan (untuk mendapat perkenan Istana Selangor), kita tengok bagaimana," katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini semalam
Pas kelmarin membuat keputusan tidak lagi menyokong kepimpinan Abdul Khalid dengan mengemukakan dua nama iaitu Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bagi menggantikan ADUN Pelabuhan Klang itu.
Bagaimanapun, mesyuarat pimpinan PR yang bersidang selepas itu sebulat suara hanya menamakan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.
Dalam perkembangan sama, Sallehen yang juga ADUN Sabak memberitahu, empat Exco Pas termasuk beliau akan tetap menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diterajui Abdul Khalid sehingga Menteri Besar baharu dilantik.
Beliau menjelaskan, ia bertujuan memastikan pentadbiran negeri tetap berjalan lancar demi kebajikan rakyat Selangor.
"Kami tetap berpegang dengan kenyataan Menteri Besar (Abdul Khalid) sebelum ini yang akur dengan keputusan Pakatan Rakyat menggantikannya tetapi tetap menjalankan tugas sehingga Menteri Besar baharu dilantik.
"Pentadbiran berjalan seperti biasa termasuk mesyuarat Exco mingguan yang akan diadakan pada Rabu ini," ujarnya.
Sallehen memberitahu, beliau merasakan kemelut Menteri Besar Selangor bakal selesai selepas Abdul Khalid diterima menghadap Sultan Sharafuddin selepas baginda pulang dari luar negara pada 27 Ogos ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3AmxtSE9H 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment