•  Sivamurugan PandianSivamurugan Pandian

SHAH ALAM - Siapa pun yang dilantik menjadi Menteri Besar Selangor baharu akan berdepan tugas sukar untuk memastikan legasi ditinggalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mampu diteruskan dengan baik.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, jika benar Abdul Khalid terpaksa melepaskan jawatan, penggantinya akan dibayangi oleh kecemerlangan Abdul Khalid.

Menurutnya, keupayaan Abdul Khalid memacu ekonomi negeri itu berjaya memberikan rizab sehingga RM3 bilion kepada Selangor dan beliau disifatkan rakyat antara Menteri Besar Selangor paling berjaya dalam mentadbir negeri.

“Pengganti Abdul Khalid bukan sahaja mempunyai tanggungjawab memastikan rekod lebih baik tetapi berhadapan dengan penilaian tinggi daripada rakyat,” katanya.

Menurut Sivamurugan, kelebihan Abdul Khalid yang merupakan ‘orang ekonomi’ secara tidak langsung berjaya memanfaatkan sepenuhnya kekayaan bumi Selangor berbanding pemimpin yang berteraskan pegangan politik.

Beliau berkata, Abdul Khalid berjaya memastikan wang negeri tidak dibazirkan, sebaliknya digunakan untuk melaksanakan beberapa program dengan lebih baik dan cekap.