• Nasib MB baharu di tangan rakyat
 1 / 1 
WALAUPUN krisis kemelut jawatan menteri besar dilihat hampir ke penghujungnya, namun masalah ini belum tentu dapat diselesaikan dengan mudah.

Jika benar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu ditukar dan PR termasuk Pas setuju berhubung pertukaran ini, masih ada perkara yang akan menjadi penghalang.

Pertama, PR perlu menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mempersembahkan sokongan majoriti dan memohon perkenan Sultan melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar Selangor.

PR perlu mendapat persetujuan sultan terlebih dahulu sebelum melantik Wan Azizah sebagai pengganti Abdul Khalid.

Jika sultan tidak perkenan nama tersebut, PR perlu mencari pengganti yang dipersetujui sultan untuk menjadi menteri besar sama ada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali ataupun pemimpin PR yang lain.

Bagaimanapun,  jika sokongan majoriti Adun Selangor lebih kepada Wan Azizah, adalah sukar untuk sultan menolak, tambahan pula tiada nama kedua dikemukakan oleh PR.

Jika Wan Azizah berjaya menggantikan Abdul Khalid, ini bermakna PR telah membuka satu episod baru dalam pentadbiran negeri di Malaysia, di mana, seorang menteri besar wanita pertama telah dilantik.

Lantik Wan Azizah selesaikah masalah? Belum tentu tidak, kerana PR perlu berdepan dengan persepsi rakyat yang menaruh harapan tinggi dalam pentadbiran baru ini. Rakyat akan meletakkan standard yang tinggi kepada Wan Azizah untuk terus memajukan Negeri Selangor dan mengekalkan kemakmuran ini dalam tempoh lebih lama.

Lebih-lebih lagi dalam meneruskan beberapa projek penting yang melibatkan kepentingan rakyat seperti perjanjian air dengan kerajaan pusat.


Tekanan untuk Wan Azizah

Disebabkan Selangor maju pada zaman pentadbiran Abdul Khalid sehingga mampu memperoleh wang rizab lebih RM3 bilion, pastinya menerusi pentadbiran Wan Azizah rakyat mahukan kemajuan seperti ini.

Wan Azizah akan menghadapi masalah jika gagal memenuhi pencapaian cemerlang Abdul Khalid dalam pengurusan kewangan.

Walaupun Wan Azizah mempunyai beberapa pemimpin PKR yang mampu menolongnya termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun ini belum tentu dapat mencapai prestasi cemerlang Abdul Khalid yang lebih bijak dalam menyimpan wang hasil negeri.

Malah, peralihan jawatan menteri besar yang dibuat semasa kerajaan negeri tidak stabil juga akan menjadi kesan utama kepada keberkesanan pentadbiran Wan Azizah dalam tempoh 100 hari pentadbiran Wan Azizah dan mungkin berlanjutan sehingga awal tahun 2015.

Jika Wan Azizah gagal untuk mentadbir dengan baik, tidak mustahil rakyat akan mendesak beliau untuk berundur dan digantikan dengan calon yang baru.

Rakyat Selangor juga akan terus mendesak beliau melakukan sesuatu bagi terus mengekalkan kemajuan negeri termasuk mengurangkan penggunaan wang negeri dalam urusan parti.

Ini kerana, semua sedia maklum, antara sebab utama Abdul Khalid ditukarkan adalah kerana keengganannya untuk menyalurkan wang rakyat ke dalam parti dan PR. Abdul Khalid juga tidak mudah memberikan wang rakyat untuk digunakan wakil rakyat walaupun bagi tujuan program di kawasan Dun masing-masing.

Namun, apa yang kita jangka semua ini akan berubah dalam pentadbiran Wan Azizah kelak.


Siapa selain Wan Azizah?

Jika rakyat tidak mahu Wan Azizah, siapa lagi lebih layak dan dipersetujui PR? Adakah Azmin lebih layak? ataupun lebih wajar Selangor diperintah oleh Pas?

Azmin seperti semua tahu sememangnya merupakan pemimpin senior di Selangor yang berkebolehan berhujah dan berpengalaman luas dalam arena politik negara.

Walaupun pada peringkat awal Azmin dilihat orang yang disebut-sebut akan menggantikan Abdul Khalid namun, namanya ditukar dengan Wan Azizah menerusi ‘Kajang Move’.

Kelmarin, Azmin menjelaskan bahawa beliau tidak akan menjadi menteri besar dan akan menyokong keputusan PKR untuk mencalonkan Presidennya, Wan Azizah sebagai pemimpin nombor satu Selangor.

Bagaimana pula jika Pas mencalonkan pemimpin mereka sebagai menteri besar? Siapa yang dilihat wajar ditonjolkan? Antara nama yang sering disebut-sebut adalah Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad, seorang Exco Kerajaan Negeri yang berpengalaman luas dalam mengurus hal-hal pentadbiran negeri.

Beliau antara empat Exco di bawah pentadbiran Abdul Khalid yang senior dan berkebolehan memimpin.

Walaupun Iskandar tidak lantang namun beliau seorang pemimpin yang dipercayai rakyat Selangor. Selain Iskandar, Exco Selangor, Ahmad Yunus Hairi juga dilihat berpotensi.

Namun, PR masih terikat dengan perjanjian bahawa pentadbiran Selangor adalah hak PKR dan bukannya Pas dan DAP. Perjanjian inilah yang akan menghalang Pas dari mengemukakan sebarang nama untuk menjadi menteri besar kerana Pas telah mentadbir Kelantan dan DAP mentadbir Pulau Pinang, walaupun Pas mempunyai 15 kerusi dalam Dun.


Nasib di tangan rakyat

Berdasarkan tinjauan dan pemerhatian Sinar Harian, rakyat Selangor yang tidak memihak mana-mana parti politik masih mahukan Abdul Khalid menjadi menteri besar.

Hujah mereka sangat mudah, mengapa perlu Abdul Khalid ditukar kalau beliau cemerlang dalam mentadbir Selangor? Pandangan ini juga dipersetujui oleh penyokong Pas dan BN yang rata-rata masih hairan dengan pertukaran menteri besar ini.

Namun, bagi penyokong PKR dan DAP, pertukaran ini penting demi survival PR di masa akan datang terutama dalam melawan asakkan BN yang masih berazam merampas kembali Selangor dari PR.

Persoalannya, jika Abdul Khalid digantikan dengan Wan Azizah, adakah PR pasti akan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti?

Mampukah Wan Azizah meyakinkan rakyat Selangor bahawa beliau mampu membawa perubahan kepada Negeri Selangor dalam pentadbirannya dan mampukah beliau mendahulukan kepentingan rakyat dari perkara-perkara lain termasuk kepentingan parti sendiri?

Jika pertukaran ini berjaya dilakukan PR, kini bermulalah episod penilaian rakyat terhadap menteri besar mereka yang baharu.

Sama ada mereka akan setuju dalam setiap keputusan yang akan dibuat ataupun membantah kerana tidak menepati kehendak rakyat Selangor. Sama-sama kita nantikan.

Terpulang kepada PR sama ada ingin meneruskan pertukaran ini ataupun tidak kerana cabaran besar akan menanti siapa juga yang akan menggalas tugas berat sebagai Menteri Besar Selangor.