Tuesday, August 19, 2014

Politik pagi lain, petang lain


RAHMAN SHAARI
19 Ogos 2014

SAYA selalu teringatkan kata-kata penyair Jihaty Abadi, bahawa ahli politik membuat kenyataan pada waktu pagi, dan mengubahnya waktu petang. Warna putih pada waktu pagi akan dikatakan hitam pada waktu petang.

Jika kita tidak bertabiat begitu, kita bukanlah ahli politik, demikian Jihaty memberikan penegasan.

Akhbar Suara Keadilan 12 Ogos memuatkan berita sampah-sarap di Kampung Tasek Tambahan, Ampang.

Pada masa lepas, ketika melukiskan kebagusan pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor, hal yang negatif begitu tidak disiarkan oleh Suara Keadilan, tetapi tersiar dalam media yang pro-Barisan Nasional.

Melalui bahasa perbandingan, pada waktu pagi Khalid ialah MB yang hebat, tetapi pada waktu petang Khalid dikatakan tidak tahu menjaga kebersihan negeri.

Contoh yang di atas tidak memaparkan kepalsuan, tetapi pemilihan perkara. Apabila dipilih hal yang positif, moleklah imej seseorang, tetapi jika dipilih hal negatif, maka buruklah imejnya.

Akhir-akhir ini, imej Khalid amat   baik di mata tokoh Umno dan Pas, sebelum Pas mengubahnya pada 17 Ogos.

Kata-kata Jihaty Abadi muncul berulang kali di fikiran saya apabila pergolakan politik tanah air berlaku. Pujian pagi berubah menjadi cacian petang.

Tokoh yang dikatakan berjasa kepada negeri, tiba-tiba dipecat dan diketepikan oleh pemuji dan penyanjungnya. Tentulah beberapa orang tokoh lain sedang menunggu giliran untuk dijadikan mangsa seterusnya.

Dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kita telah melihat nasib tokoh-tokoh yang pada satu masa berdiri kukuh di samping Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudian meninggalkannya.

Tokoh-tokoh yang sedemikian mengukuhkan makna dan maksud Jihaty Abadi di fikiran saya. Kehebatan Anwar terletak pada kecepatannya mendapat sokongan baru setelah ditinggalkan oleh kawan lama.

Peristiwa yang mengejutkan sejumlah rakyat Malaysia ialah apabila pada 17 Ogos, Pas tidak lagi menyokong Khalid. Jarak antara masa sokong dan masa tidak sokong ialah beberapa minggu saja.

Ertinya, Pas juga mengamalkan ‘lain pagi, lain petang.’ Maka sahlah bahawa gejala itu ialah kebiasaan dalam politik.

Perubahan sikap dan janji dalam politik menyebabkan istilah demokrasi meleset. Di sana sini orang berbangga dan berlagak selaku pemegang demokrasi, tetapi istilah itu tidak tepat apabila kita tinjau perlakuan di lapangan.

Itulah sebabnya muncul istilah democrazy, iaitu cantuman antara demo dan crazy. Demo dalam konteks itu ialah demonstration, iaitu perkataan Latin yang bermaksud pertunjukan (show).

Istilah democrazy dicipta oleh Damon Albarn. Ketika makalah ini ditulis, democrazy sedang menjadi-jadi di Selangor.

Democrazy dalam konteks ini bermakna kegilaan pada kuasa, atau lebih tepat kita sebutkan power crazy.

Istilah democrazy sangat bertepatan dengan realpolitik yang sedang ‘dinikmati’ dan ‘dihayati’ oleh rakyat Selangor kini.

Untuk memahami keseluruhan fenomena di Selangor, ‘Langkah Kajang’ bolehlah dijadikan titik tolak. ‘Langkah Kajang’ ialah anjuran Rafizi Ramli, anak muda yang nampak jelas masa depannya. Rafizi nampak bahawa sesiapa pun yang menjadi

Menteri Besar Selangor akan berada di kerusi panas. Pertukaran menteri besar daripada seorang ke seorang yang lain akan berlaku dan berlaku lagi, hinggalah giliran Rafizi yang tentunya tidak mengambil masa panjang.

Kita janganlah sekali-kali lupa bahawa Rafizi ialah ahli strategi. Jika ini dilupakan, maka aplikasi akal dan helah politik di Selangor tidak akan dapat difahami dengan mudah.

Dalam pergolakan yang bising ini, kita dapati Khalid bukanlah sebarang orang.

Beliau tidak mudah berundur dari kerusi menteri besar, kerana beliau sedar bahawa pengundurannya bukanlah demi kepentingan rakyat.

Saya mengemukakan perkara ini kerana makna politik amat perlu kita fahami bersama-sama.

Hukum agama menuntut janji ditepati, tetapi hukum politik mengizinkan semua perkara dilakukan, dan pada ketika lain apa-apa pun boleh dimungkiri, berasaskan alasan-alasan yang dicipta mengikut keperluan.

Perhatian terhadap perkembangan politik Selangor minggu ini tidak lain daripada pemerhatian terhadap helah yang berganti-gantian.


• Datuk Rahman Shaari ialah penerima SEA Write Award daripada kerajaan Thailand (2007) dan penerima Anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau ialah mantan Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.

No comments:

Post a Comment