Friday, June 13, 2014

MELAYU HILANG BAKAT BERNIAGA, UMNO KENA TARIK ORANG MUDA

MELAYU HILANG BAKAT BERNIAGA, UMNO KENA TARIK ORANG MUDAIkuti temu bual dengan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin: Siri 1

S: Tun juga dilihat sangat kritikal?

J:
Jika ada yang tidak betul saya tegur dan tidak semestinya idea saya betul. Kenapa saya hendak membangkang, saya ahli perniagaan dan ini negara saya... saya sayangkan negara saya. Saya bagi pandangan dan teguran demi kebaikan negara.
Saya buat teguran kerana sayang UMNO supaya UMNO terus diterima bukannya ada tujuan memburukkan sesiapa. Saya sudah bersara, tidak ada kepentingan apa, saya menegur kerajaan untuk kebaikan. Tidak salah berbahas, jika betul kita terima dan jika salah tidak perlu diambil. Apa guna hantar anak-anak ke universiti tetapi apabila mereka tegur kita tidak mahu terima. Mereka kemukakan soalan kepada kerajaan dan kerajaan perlu menjawabnya, mereka ini mahu tahu saja.Antara berita menarik dalam sisipan SKUAD dalam akhbar BH, Khamis 3 April, 2013. Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital dihttp://subscription.nstp.com.my/

JAIS diarah pulangkan Bible bahasa Melayu


2014/06/13 - 01:03:01
Shah Alam: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memulangkan semula 300 kitab Bible versi bahasa Melayu yang dirampas Januari lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Salehen Mukhyi serta Penasihat Undang-undang Kerajaan Selangor, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, diarah membantu proses pemulangan itu.

“Salehen dan JAIS juga sudah diminta untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak yang terbabit terutama Persatuan Bible Malaysia (PBM) bagi menyelesaikan perbezaan pendapat secara baik sekali gus menjaga keharmonian beragama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, pihaknya turut dinasihatkan Penasihat Undang-Undang Negeri untuk mengambil langkah mengikut perundangan dalam mengendali barang kes yang dirampas.

“Kerajaan negeri berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara atas segala nasihat dan juga kepada PBM kerana memberikan kerjasama yang baik ketika siasatan dijalankan,” katanya.

Kelmarin, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani mengumumkan Jabatan Peguam Negara tidak akan membuat sebarang pendakwaan terhadap rampasan Bible yang dilakukan JAIS, awal tahun ini.

Thursday, June 12, 2014

Tragedi MH370: Tujuh keluarga terima bayaran awal


Oleh Hayati Ibrahim
Putrajaya: Tujuh waris keluarga penumpang MH370 dari Malaysia dan China sudah menerima bayaran awal sebanyak RM160,700 (USD$50,000) daripada MAS melalui syarikat insurans.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata, enam daripada mereka adalah waris dari Malaysia, manakala satu dari China.

"Bagi waris keluarga lain ada di kalangan mereka sudah melantik peguam untuk melancarkan proses pembayaran, sementara 40 waris dari China sedang dalam proses bagi mendapatkan pengesahan waris sebenar.

"Sementara bayaran akhir hanya akan dibuat selepas kerajaan mengumumkan tragedi MH370 berakhir,"katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa 'Next Of Keen' di sini, sebentar tadi.

Pada masa sama, Hamzah berkata, beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa itu sentiasa berhubung dengan waris penumpang sama ada perjumpaan secara individu, kumpulan, surat atau melalui panggilan telefon.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Bekas suami Abby dakwa didera mental, fizikal

Bekas suami Abby dakwa didera mental, fizikal

Farhan menunjukkan laporan polis dan kesan pukul yang didakwa dilakukan oleh Abby Abadi selepas hadir di Mahkamah Gombak Timur, semalam. Kuala Lumpur: “Saya didera mental dan fizikal,” kata Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, bekas suami pelakon dan aktivis PAS, Abby Abadi ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, semalam.

Beliau mendakwa Abby pernah memukulnya dengan kunci motosikal hingga menyebabkan kecederaan di muka sekitar Januari lalu.
Katanya, kejadian pertama berlaku selepas Abby mendapat tahu yang dia memaklumkan kepada seorang kenalannya bahawa antara mereka sudah tiada apa-apa hubungan.

Ia disusuli dengan kejadian kedua pada 17 Mei lalu, kira-kira seminggu selepas dia menghantar lafaz cerai melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), iaitu pada 9 Mei.

Dalam kejadian itu, Farhan mendakwa Abby mencakarnya di tangan dan muka selepas dia enggan berbincang mengenai masalah rumah tangga mereka, menyebabkan dia takut lalu membuat laporan polis di Balai Polis Ampang pada hari sama.

“Saya perlukan ruang ketika itu tetapi dia tetap cari dan desak saya. Apabila saya tak mahu (berbincang) dia cakar saya di tangan dan muka.

“Saya jadi takut sebab itu buat laporan polis. Laporan itu dibuat untuk jarakkan saya dengan dia, supaya dia (Abby) tidak mendekati saya. Dia tahu mengenai laporan itu, saya ada maklumkan dia,” katanya sambil menunjukkan bukti kesan kecederaan, gambar dan laporan polis terbabit.
Dia bagaimanapun berkata, perkara itu tidak didedahkan di dalam mahkamah kerana tidak mahu memanjangkan cerita.


Abby suka mendesak

Selain dicakar, Farhan turut mendakwa punca keretakan rumah tangga mereka adalah disebabkan sikap Abby yang suka mendesak terutama apabila membabitkan soal kewangan.

“Dia selalu desak saya, apabila tak ada duit, dia desak dan pernah kata saya tak mendatangkan apa-apa faedah pada dia. Saya tak tahu apa yang dia harapkan daripada saya.

“Saya kerja sendiri, gaji hari... jadi saya cuma bagi apa yang saya mampu,” katanya yang menolak faktor jarak usia yang terlalu jauh menjadi punca perpisahan mereka.

Ditanya sama ada dia masih sayangkan Abby, Farhan berkata, dia sudah tawar hati dan tidak terfikir untuk rujuk kembali selepas apa yang terjadi.

Terdahulu, pada prosiding semalam, Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin mensabitkan lafaz kedua oleh Farhan menerusi SMS yang dibuat pada 9 Mei lalu berbunyi, ‘Aku ceraikan kau’ disusuli satu lagi SMS, ‘Mulai hari ini kau dah tiada apa-apa hubungan dengan aku’ adalah sah.

Beliau memutuskan demikian selepas meneliti dokumen dan berpuas hati dengan keterangan kedua-dua pihak berhubung lafaz cerai pada jam 10.25 pagi itu. Lafaz secara kinayah atau kiasan itu dihantar kepada Abby selepas berlaku pertengkaran antara mereka pada malam sebelum kejadian.

Abby selaku plaintif memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Bagaimanapun, mahkamah tidak mensabitkan jatuh talak bagi pengesahan lafaz cerai pertama yang dibuat oleh Farhan sekitar Januari lalu, juga menerusi SMS berikutan lafaz itu tidak memenuhi rukun dan syarat talak.

Malaysia teratas Indeks Keislaman


Malaysia berada di kedudukan ke-33 berbanding negara-negara OIC dalam kajian Indeks Keislaman yang dijalankan ahli akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat. - AFP
LONDON 11 Jun - Malaysia berada pada kedudukan teratas dalam Indeks Keislaman berbanding negara-negara Kerjasama Pertubuhan Islam (OIC) lain berdasarkan kajian yang dijalankan oleh dua ahli akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat.
Kajian yang mengambil kira faktor negara-negara yang berpegang teguh kepada nilai-nilai ajaran al-Quran itu meletakkan Malaysia di tangga ke-33 berbanding negara-negara OIC lain seperti Arab Saudi dan Qatar, yang masing-masing berada pada kedudukan ke-93 dan ke-111.
Tidak ada sebuah pun negara yang majoriti penduduknya beragama Islam berada pada kedudukan 50 teratas, melainkan Malaysia serta Kuwait yang berada di tangga ke-42.
Malah yang menarik perhatian tentang Indeks Keislaman itu, Israel berada di tangga ke-27, manakala Singapura di tangga ke-8.
Menurut BBC, kajian yang dijalankan oleh Pensyarah Hal Ehwal Antarabangsa dan Perniagaan Antarabangsa Universiti George Washington, Profesor Hossein Askari dan rakannya, Scheherazade S. Rehman itu mengesan bagaimana negara-negara di dunia mengaplikasikan pengajaran al-Quran dalam kehidupan bermasyarakat.
Hossein yang merupakan ahli akademik kelahiran Iran berkata, Indeks Keislaman itu meletakkan Ireland pada kedudukan pertama negara paling berpegang teguh kepada ajaran al-Quran, diikuti Denmark, Sweden dan United Kingdom.
"Kami melihat sama ada benar atau tidak negara-negara itu buat apa yang sepatutnya mereka buat. Kami turut melihat pada faktor tadbir urus, politik dan hak asasi manusia serta hubungan antarabangsa, katanya.
Hossein berkata, faktor utama negara-negara Islam mendapat kedudukan terendah dalam indeks itu adalah disebabkan tadbir urus negara-negara berkenaan yang menjadikan agama sebagai alat untuk berkuasa.
Al-Quran mengajar kemakmuran ekonomi adalah perkara yang baik untuk masyarakat, namun laporan Hossein mendapati, kemakmuran tidak menjadi perkara yang diutamakan oleh kebanyakan negara Islam.
Pada November lalu, Hossein berkata, perlu diberi penekanan bahawa kebanyakan negara yang mengaku mengamalkan ajaran Islam dan digelar sebagai negara Islam tidak melaksanakan keadilan, mengamalkan rasuah, serta mundur dan pada hakikatnya tidak sebenar-benar mengamalkan Islam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140612/lu_03/Malaysia-teratas-Indeks-Keislaman#ixzz34Ndi8bxT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Arab Saudi kecam tindakan kritik undang-undang Islam


Mohammed Al-Eissa
JEDDAH 11 Jun - Menteri Kehakiman Arab Saudi, Mohammed Al-Eissa mengecam pertubuhan hak asasi antarabangsa yang bertindak 'menyerang' sistem keadilan di negara ini yang berlandaskan ajaran Islam seperti yang terkandung di dalam al-Quran.
Portal berita Arab News yang memetik kenyataan Al-Eissa melaporkan, ramai pihak salah faham terhadap undang-undang Islam kerana mereka menerima maklumat yang salah dan menolak perbezaan budaya seperti yang dilaporkan oleh pertubuhan antarabangsa.
Tambahnya, sebarang tindakan mengkritik undang-undang Islam yang dilaksanakan akan dianggap menyerang kedaulatan negara ini.
Jelasnya, hukuman ke atas kesalahan berat seperti pancung, potong tangan dan sebatan telah ditetapkan dalam al-Quran dan perkara itu tidak boleh diubah.
"Sistem keadilan di Arab Saudi melaksanakan perbicaraan secara terbuka bagi memastikan ketelusan dan keadilan ditegakkan, selain mengurangkan kadar jenayah.
"Islam mengajar tentang kebijaksanaan untuk berdialog dengan agama lain dan mewujudkan suasana aman bersama masyarakat lain," jelasnya.
Merujuk kepada hukuman mati yang dilaksanakan di Arab Saudi, Al-Eissa berkata, banyak negara telah melaksanakan cara yang sama seperti yang tercatat dalam undang-undang mereka.
Malah, katanya, hukuman potong tangan atas kesalahan mencuri juga telah menjadi rujukan kepada agama lain.
"Hukuman sebat hanya dikenakan atas kesalahan yang berkaitan maruah dan undang-undang Islam juga tidak membenarkan hukuman potong tangan dilakukan terhadap suspek pencuri sehingga benar-benar suspek didapati bersalah.
"Islam mengajar kita bersimpati dengan mangsa, bukan kepada jenayah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140612/lu_05/Arab-Saudi-kecam-tindakan-kritik-undang-undang-Islam#ixzz34NdCafWG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, June 11, 2014

Nak kebumi guna kabilah


Baha: Penduduk di sebuah kampung di Arab Saudi enggan membenarkan seorang bayi berusia 10 hari dikebumikan di tanah perkuburan kampung itu kerana perbezaan kabilah.

Menurut laporan media tempatan, ahli keluarga yang menguruskan jenazah itu membawanya ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Mereka bagaimanapun dihalang penduduk kampung berhampiran bandar Baha.

“Bapa kanak-kanak itu berkata, keluarganya terpaksa mengebumikan jenazah itu di tanah perkuburan lain yang terletak hampir 15 kilometer dari rumahnya.

“Penduduk kampung bertindak demikian kerana dia bukan kabilah mereka dan bukan penduduk asal kampung itu,” lapor akhbar tempatan.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Isteri ‘sulit’ bekas Raja Saudi tuntut harta


London: Seorang wanita Britain yang mendakwa berkahwin dengan bekas Raja Arab Saudi memenangi pusingan pertama kes tuntutan harta berjumlah berjuta-juta ringgit.

Janan Harb berkata, dia berkahwin secara rahsia dengan Almarhum Raja Fahd pada 1968 ketika Fahd menjadi Menteri Dalam Negeri Arab Saudi.

Menurut Janan, dia berusia 19 tahun ketika itu dan Fahd berjanji untuk menanggungnya dari segi kewangan sepanjang hayatnya.

Bagaimanapun, dia terpaksa meninggalkan Arab Saudi beberapa tahun kemudian kerana keluarga diraja Saudi tidak merestui perkahwinan mereka.

Janan menuntut bayaran £12 juta (RM65 juta) yang dijanjikan kepadanya serta hak terhadap dua apartmen mewah di tengah London.

Dia memberi amaran kepada Putera Abdul Aziz, anak Fahd hasil daripada perkahwinan dengan wanita lain bahawa dia akan mendedahkan segala rahsia mengenai kehidupan berkahwin dengan seorang raja Saudi jika Aziz gagal membayarnya.

Mahkamah Tinggi di London semalam memutuskan kes itu boleh dibicarakan di mahkamah Britain.

Selepas keputusan itu, Janan memberitahu wartawan, dia merasa lega dan memberi amaran, jika Aziz merayu untuk membatalkan keputusan berkenaan, dia akan menerima tawaran untuk menerbitkan filem mengenai buku yang sudah ditulisnya.

“Saya akan mendedahkan segala-galanya mengenai kehidupan bersama Fahd,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hanan, Aziz sudah bersedia untuk mmenunaikan janji bapanya, termasuk menjelaskan wang berjumlah RM65 juta dan hak terhadap dua apartmen itu.

Bengkel kereta khas untuk wanita elak ditipu


SEORANG mekanik wanita membaiki kenderaan yang dihantar oleh para pelanggan ke bengkel Only Girls untuk dibaiki.- AFP


PARIS - Sebuah bengkel kenderaan khusus untuk kaum wanita yang turut menawarkan perkhidmatan rias kuku dan urutan badan dibuka di ibu kota Perancis di sini.
Bengkel itu, Only Girls mula beroperasi pada Mei lalu dan memberi perkhidmatan kepada wanita yang merasakan mereka kerap ditipu dan dikenakan caj mahal oleh mekanik lelaki di bengkel lain.
Sejak sebulan beroperasi, Only Girls menerima 40 pelanggan setakat ini dengan dua pertiga daripada mereka terdiri daripada golongan wanita.
"Apabila anda seorang wanita, ia seperti ada cop 'ini mangsa' di dahi anda," kata seorang pemilik kereta berusia 42 tahun, Sandrine Hautenne.
"Saya pernah mengunjungi tiga bengkel berlainan dan diberikan tiga anggaran harga berbeza tetapi apabila saya menghantar bapa saudara saya, harga yang ditawarkan menjadi lebih rendah," tambahnya.
Only Girls menyediakan beberapa mekanik wanita berpengalaman yang bukan sahaja bekerja membaiki kereta tetapi turut mengajar pelanggan tentang aspek kenderaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz34Jof7uFX 
Hakcipta terpelihara 

Kos cari MH370 belum ditentukan


GAMBAR fail menunjukkan tentera laut Australia yang terlibat dalam operasi mencari bangkai pesawat MH370.- AFP


SYDNEY - Kerajaan Australia dan Malaysia bersedia untuk membincangkan fasa seterusnya untuk mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang, kata pihak berkuasa di sini.
Setakat ini, Malaysia membelanjakan kos keseluruhan operasi mencari sebanyak satu persepuluh daripada AS$84 juta (RM269 juta).
Dalam pada itu, Australia dijangka memperluaskan pencarian pesawat itu yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing tiga bulan yang lalu.
"Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak AUD$89.9 juta (RM269.81 juta). Saya rasa kira-kira AUD$25 (RM75 juta) telah disalurkan kepada pasukan pertahanan yang mengendalikan pencarian secara visual," kata Ketua Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC), Angus Houston.
Sementara itu, tambahan sebanyak AUD$60 juta (RM180 juta) diperuntukkan untuk operasi pencarian dasar laut di Lautan Hindi di mana pesawat itu dipercayai terhempas di kawasan carian Australia dan zon menyelamat.
"Wang berkenaan telah diperuntukkan tetapi kami masih mahu membuat keputusan atau masih mahu berbincang dengan beban perkongsian misalnya dengan Malaysia," katanya.
Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Abdul Rahim Bakri dijangka berada di Canberra untuk berbincang dengan pegawai-pegawai Australia.
Beliau berkata kepada pemberita pada Isnin lalu, kos berkenaan akan dikongsi 50-50 antara Malaysia dan Australia.
Terdahulu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kepada Parlimen, kerajaan Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM27.6 juta untuk minyak, peralatan makanan dan pencarian peribadi.
"Kos yang terpaksa ditanggung kerajaan Malaysia sebenarnya adalah sedikit jika hendak dibandingkan dengan aset-aset yang diberikan oleh negara lain.
"Saya amat berbangga kerana ramai rakan negara lain membantu serta menanggung perbelanjaan pencarian sendiri tanpa membuat sebarang tuntutan kepada Malaysia," kata Hishammuddin.
Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac lalu semasa dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Ia membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal semasa hilang daripada radar. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz34Ii0PQ3b 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, June 10, 2014

RM27.6j kos fasa pertama operasi cari pesawat


2014/06/10 - 07:45:15
RM27.6j kos fasa pertama operasi cari pesawat
Kuala Lumpur: Sejumlah RM27.6 juta dibelanjakan bagi membiayai kos logistik anggota keselamatan Malaysia yang menyertai fasa pertama operasi mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Jumlah itu bagi menampung makan minum anggota pasukan mencari dan menyelamat serta petrol bagi aset yang digerakkan dalam pencarian itu.

Kos itu membabitkan anggota lima agensi kerajaan, iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan kos itu rendah hasil kerjasama negara seperti Australia dan China.

“Jumlah ini adalah bagi peringkat awal dan kita bernasib baik kerana mempunyai negara rakan yang bermurah hati membantu tanpa menuntut ganti rugi. Malaysia mengucapkan terima kasih dengan bantuan semua negara itu yang menanggung kos bagi aset canggih masing-masing.

“Bila orang pertikaikan isu kos, hari ini saya dedahkan. Saya sebenarnya bangga kerana mungkin, keikhlasan kita, tak ada ego, kita tahu kita ada had dan batas dalam pencarian, dan pendekatan sebegini, ramai pihak tampil bantu secara percuma,” katanya selepas mendedahkan kos pencarian MH370 pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Lantik penyiasat persendirian Hishammuddin turut melahirkan perasaan terharu dengan usaha keluarga p enumpang MH370 yang mengumpul dana bagi melantik penyiasat persendirian untuk mengesan pesawat itu.

Bihun cap masjid tiada sijil halal Jakim

Jakim
KUALA LUMPUR - 'Bihun Istimewa' cap masjid keluaran sebuah kilang di sini tidak mempunyai sijil halal yang sah, demikian menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata, produk bihun itu mengguna pakai logo halal sendiri pada pembungkusan dan ia bertentangan dengan Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Kenyataan itu dikeluarkan di laman web Jakim berikutan penyebaran beberapa keping gambar pemprosesan bihun istimewa yang kotor dan jijik di laman sosial, hari ini.
  
Mengenai kicap 'ABC Saus Manis' yang didakwa menggunakan botol arak, Hakimah memaklumkan produk tersebut adalah tiruan dan tidak menggunakan logo halal Jakim.
  
"Produk tersebut dikilangkan semula di kilang yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan telah diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berdasarkan aduan orang awam," katanya.
  
Hakimah berkata, produk 'ABC Saus Manis' yang asli dikilangkan di Indonesia dan mempunyai pengesahan halal daripada badan pensijilan halal Majelis Ulama Indonesia (MUI) yang diiktiraf Jakim.

Ramadan mungkin sunyi tanpa bacaan al-Quran

thailand
BANGKOK - Bagi penduduk di selatan Thailand, terutama umat Islam, Ramadan kali ini mungkin sunyi tanpa bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan program keagamaan lain yang lazimnya berkumandang melalui corong radio.

Ini kerana sejak rampasan kuasa pada 22 Mei lalu, radio-radio komuniti di wilayah selatan telah diarah menghentikan siaran dan sekalipun rayuan telah dibuat agar mereka dibenar kembali bersiaran sebelum Ramadan, sehingga kini masih belum ada jawapan.

Setakat ini pihak tentera di selatan tidak boleh beri jawapan kerana arahan menghentikan siaran radio bukan hanya di selatan tetapi di seluruh negara, kata Pengarah Media Selatan Wan Ahmad Wan Kacik kepada Bernama.

Jurucakap junta di sini, Pattamaphorn Rattanadilok Na Phuket berkata keputusan mengenai perkara itu bergantung kepada Suruhanjaya Telekomunikasi dan Penyiaran Kebangsaan.

Arahan menghentikan siaran oleh Majlis Kebangsaan Bagi Keamanan dan Ketenteraman itu membabitkan 14 stesen televisyen satelit dan 6,000 stesen radio komuniti berdaftar serta 2,000 yang tidak berdaftar, bertujuan menjaga keamanan.

Di Pattani, Yala dan Narathiwat, lebih 50 stesen radio komuniti terjejas termasuk Stesen Radio dan Televisen Bahasa Melayu yang baru dibuka selama setahun lebih oleh Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC).

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata radio komuniti memainkan peranan penting di wilayah selatan terutama Media Selatan yang merupakan stesen radio dan laman sesawang.

Rancangan Dunia Hari Ini adalah ruangan yang paling ramai peminat, katanya.

Program itu wujud selepas termeterainya Dialog Damai di Kuala Lumpur pada 28 Februari 2012 antara Thailand dan wakil Gerakan Pembebasan Patani-BRN (Barisan Revolusi Nasional) dengan Malaysia sebagai fasilitator.

Rancangan ini memberi ruang kepada semua pihak menyuarakan hasrat mereka, kata beliau.

Antara yang pernah ditemu bual menerusi program itu ialah wakil BRN Hasan Taib, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara dan wakil tentera Jen. Paradorn Srichapan serta  fasilitator dari kerajaan Malaysia iaitu Datuk Seri Ahmad Zamzamin  Hashim.

"Dunia Hari Ini mendapat  sambutan dari segi saranan serta nasihat dansebagainya daripada rakyat. Kalau dulu kita tidak pernah dengar rakyat Pattani memperkatakan tentang pendamaian, proses damai dan sebagainya," katanya.

Wan Ahmad juga berkata maklumat yang disampaikan dalam siaran dalam bahasa Melayu lebih dipercayai oleh masyarakat setempat.

Ini kelebihan radio komuniti kalau dibandingkan dengan radio kerajaan dan sebagainya, iaitu masyarakat umumnya di Pattani ini memberi kepercayaan kepada radio komuniti, kata Wan Ahmad.

Beliau berkata selain daripada maklumat pengetahuan berita dan sebagainya, tugas radio komuniti di selatan ialah siaran agama seperti azan, kuliah agama dan sebagainya.

Katanya radio kerajaan banyak menggunakan bahasa Thai, sedangkan ramai rakyat di selatan Thai kurang memahami bahasa itu..

"Saya rasa perkara ini akan membawa akibat yang buruk sekiranya Ramadan nanti kita tidak dapat menyiarkan radio kita. Masyarakat mungkin tertanya-tanya tentang kesungguhan kerajaan pusat terhadap masyarakat di sini dan sebagainya," kata Wan Ahmad. - Bernama

Tempat Pemprosesan Bihun Cap Masjid


Apa Komen Anda

Monday, June 9, 2014

KDN siasat 274 kes di bawah Akta Hasutan 1948

Zahid Hamidi
Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR - Sebanyak 274 kes telah disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Akta Hasutan 1948 dari tahun 2008 hingga 29 Mei 2014.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata sebanyak 43 laporan polis diterima termasuk satu laporan yang dibuat ke atas Presiden Perkasa sehingga 29 Mei 2014.
Beliau berkata lanjutan daripada laporan itu, kertas siasatan dibuka untuk siasatan lanjut di bawah Akta Hasutan 1948.
"Kerajaan memandang serius sebarang tindakan yang dilakukan oleh mana-mana kumpulan atau pertubuhan yang mengeluarkan kenyataan melampau tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat di negara ini.
"Bagaimanapun, buat masa ini saya tidak bercadang untuk mendedahkan secara terperinci status penyiasatan dan tindakan yang telah diambil kerana masih di bawah siasatan pihak polis," katanya menerusi jawapan secara bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh).
Teresa meminta senarai pecahan kes yang disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan daripada tahun 2004 hingga tahun 2014.
"Kenyataan dikeluarkan Teresa Kok bahawa tiada tindakan ke atas Ketua Perkasa dan Isma tidak tepat kerana kedua badan itu tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang di negara ini.
"Setiap siasatan adalah berdasarkan kepada laporan polis manakala pendakwaan pula akan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya sekiranya siasatan mendapati perbuatan itu terbukti melanggar undang-undang," katanya.
Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata pemansuhan Akta Hasutan 1948 masih belum diputuskan berikutan masih dalam kajian dan penelitian daripada pelbagai aspek.
Dalam jawapan bertulis berasingan, beliau berkata penelitian dan kajian yang menyeluruh adalah penting bagi memastikan suatu undang-undang itu komprehensif dan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Bagi tujuan ini, kerajaan kini sedang mendapatkan dan mengumpul pandangan serta maklum balas daripada semua pihak yang berkepentingan berhubung peruntukan wajar dimasukkan dalam akta baru.
"Pada 11 Julai 2012, Perdana Menteri telah menyatakan hasrat kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 atau Akta 15 dan menggantikannya dengan Akta dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional,"katanya.
Teresa Kok (DAP-Seputeh) ingin tahu sebab kerajaan tidak membatalkan Akta Hasutan 1948 sebagaimana diumumkan pada tahun 2012.
Nancy berkata objektif Akta Keharmonian Nasional bukan saja untuk memperkasa undang-undang tetapi mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara dengan keperluan mengenakan tindakan undang-undang. - Bernama

6,000 anggota tentera pantau keadaan di Bangkok


Gambar fail bertarikh 21 September 2006, menunjukkan beberapa unit kereta kebal dikerah ke Bangkok dua hari selepas rampasan kuasa dilaksanakan di Thailand semasa pemerintahan Perdana Menteri ketika itu, Thaksin Shinawatra. - AFP
BANGKOK 8 Jun - Junta tentera Thailand bertindak mengerahkan pasukan keselamatan yang terdiri daripada 6,000 anggota tentera dan polis ke sekitar ibu negara hari ini bagi menyekat dan menghalang kumpulan pembangkang mendapatkan momentum melakukan demonstrasi antirampasan kuasa.
Timbalan ketua polis, Somyot Poompanmoung berkata, pasukan keselamatan itu ditempatkan di lima lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Suvarnabhumi, dan kawasan sekitar Istana Besar Raja Thailand di Bangkok.
"Selain itu, kami turut menempatkan anggota di lokasi pernah tercetus bantahan sebelum ini.
"Kami berharap tunjuk perasaan itu tidak mencetuskan apa-apa keganasan dan akan berakhir dengan aman," kata Samyot.
Beliau dalam pada itu berkata, Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha turut mengarahkan anggota pasukan keselamatan mengelak konfrontasi.
Menurut Somyot, penempatan anggota pasukan keselamatan hari ini melibatkan 27 kompeni tentera dan 15 pasukan polis.
Sejak rampasan kuasa dilaksanakan pada 22 Mei lalu, anggota pasukan keselamatan ditempatkan di beberapa lokasi di bandar-bandar besar Thailand bertujuan menghalang penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi yang dikhuatiri boleh memburukkan lagi keadaan di negara ini. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140609/lu_02/6000-anggota-tentera-pantau-keadaan-di-Bangkok#ixzz345Z7edW0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, June 8, 2014

Remaja hilang dipercayai ikut teman lelaki

Che Ahmad menunjukkan gambar Nur Azlin yang hilang dari rumah sejak 1 Jun lalu.
Che Ahmad menunjukkan gambar Nur Azlin yang hilang dari rumah sejak 1 Jun lalu.
ALOR SETAR - Seorang remaja perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini hilang dari rumah sejak 1 Jun lalu dipercayai mengikut teman lelakinya.

Tinggal bersama ibu dan bapa tirinya di Jalan Bunga Raya, dekat sini, Nor Azlin Azelan, 17, didapati tidak pulang ke rumah selepas keluar awal pagi.

Bapa tirinya, Che Ahmad Din, 54, berkata,  Nor Azlin tidak pulang ke rumah selepas dipercayai menaiki sebuah kereta yang mengambilnya di rumah mereka kira-kira jam 3 pagi.

Menurutnya, jiran mereka nampak anaknya memanjat pagar dan menaiki sebuah kereta yang menunggu di hadapan rumah dalam keadaan tergesa-gesa.

"Dia keluar sehelai sepinggang cuma membawa kad pengenalan dan telefon bimbit. Saya cuba menghubungi telefonnya tetapi tidak dijawab. Sudah puas saya mencarinya termasuk pergi ke Kuala Lumpur namun gagal dikesan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengesyaki remaja itu mengikut teman lelakinya yang berusia 21 tahun kerana sebelum ini pernah merancang untuk melarikan diri tetapi tidak kesampaian apabila hasratnya itu diketahui keluarga.

Tiada negara kritik tindakan Malaysia tangkap militan - Zahid


2014/06/08 - 15:22:58
BALING: Malaysia tidak pernah menerima kritikan dari mana-mana negara yang rakyat mereka ditangkap kerana terbabit dengan kegiatan militan antarabangsa di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, beliau berkata Malaysia dipuji atas tindakan tegas itu yang dibuat demi keselamatan rakyat negara ini dan dunia.

Katanya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama bahagian Cawangan Khas tidak bertolak ansur dengan kegiatan jenayah yang dilakukan mana-mana kongsi gelap dan pertubuhan militan yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Saya memberi jaminan PDRM dan pihak Cawangan Khas akan tegas melaksanakan tanggungjawab membanteras kegiatan jenayah dan keganasan tempatan dan pihak (militan) luar yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi mereka," katanya kepada pemberita ketika melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Baling di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim. - BERNAMA

Jimmy Shanley jumpa pengganti


Shah Alam: Dua tahun menduda dan sebelumnya berdepan dengan kemelut sengketa rumah tangga akhirnya kepiluan hati pengacara Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 34, terubat apabila menemui pengganti baru.
Tepat jam 6.15 petang tadi, Jimmy selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihan hatinya, Mariam Jamilah Abdul Jalil, 26, dengan sekali lafaz di Hotel Concorde, dekat sini. 
Upacara itu disempurnakan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Abdul Jalil Othman sambil diperhatikan Juru Daftar Nikah dan Cerai Shah Alam, Ustaz Khairudin. 

Jimmy menyerahkan wang mas kahwin RM1,000, hantaran sebanyak RM15,000 berserta lima dulang hantaran berbalas tujuh oleh pengantin perempuan.
Foto

Ini adalah perkahwinan kedua Jimmy yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Nursuhaila Eliani Suhaimi pada 1 Oktober 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata Zahra Rania Shanley, 3 tahun. Pasangan ini bercerai pada Oktober 2012.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

CIA buka akaun Twitter, Facebook


LAMAN web Twitter CIA menerima jumlah pengikut yang mencecah ratusan ribu orang hanya selepas dibuka kelmarin. - AGENSI
WASHINGTON 7 Jun - Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang sebelum ini sering memantau media sosial bagi mendapatkan maklumat risikan atau mengesan pengganas, semalam membuka akaun rasmi Twitter dan Facebook.
Tweet pertamanya di bawah nama @CIA adalah, ‘Kami tidak boleh mengiakan atau menafikan bahawa ini adalah tweet pertama kami’.
Selang dua jam kemudian, status itu mencatat kira-kira 90,000 retweet dan pada masa sama merekodkan sebanyak 115,000 pengikut.
Pengarah agensi risikan Amerika Syarikat (AS) itu, John Brennan dalam satu kenyataan berkata, pembukaan akaun Twitter dan Facebook itu membolehkan CIA menjalin hubungan lebih rapat dengan masyarakat selain berkongsi misi, sejarah, maklumat dan perkembangan baharu.
"Kami bakal berkongsi pelbagai maklumat dengan pengguna," katanya.
Kerajaan AS menerusi akaun Twitternya, Twitter Government & Politics kemudiannya mengalu-alukan status CIA itu dengan menggunakan hashtag #BestPractice kerana 'kreatif dalam tweet pertama anda'.
CIA ketika ini mempunyai akaun laman perkongsian video YouTube dan Flickr.
Brennan menambah, terdapat peluang tipis bagi CIA untuk memuat naik status tentang rahsia perisikan, sebaliknya platform itu akan digunakan bagi memuat naik sidang akhbar yang unik, maklumat tentang jawatan kosong dan misi bersejarah agensi itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140608/lu_06/CIA-buka-akaun-Twitter-Facebook#ixzz33zzlbmKL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tentera Thai lancar kempen kegembiraan



BEBERAPA askar-askar tersenyum pada kempen Kembalikan kegembiraan Kepada Rakyat di Monumen Kemenangan di Bangkok pada 4 Jun lalu. - AP


BANGKOK - Tentera Thailand telah melancarkan kempen untuk membawa kegembiraan kepada penduduk di negara ini selepas melancarkan rampasan kuasa pada 22 Mei lalu.
Projek untuk menggembirakan orang ramai itu melibatkan penganjuran konsert secara percuma, pengedaran makanan percuma dan tarian penari-penari wanita.
Acara-acara tersebut dijangka membuka jalan untuk penyatuan selepas sedekad negara ini dilanda kegawatan politik.
Namun, terdapat acara-acara itu yang ditaja junta tentera mendapat kritikan.
Menurut seorang pakar Kajian Asia Tenggara di Kyoto Universiti, Jepun, Profesor Pavin Chachavalpongpun, beliau pasti acara-acara tersebut bukannya kegembiraan yang dimahukan rakyat negara ini.
"Saya pasti, ia bukanlah kegembiraan yang dimahukan warga Thailand yang mahukan sebuah kerajaan awam," katanya.
Menurutnya, adalah sesuatu yang tidak munasabah untuk mempercayai bahawa suasana seperti itu akan mewujudkan alam sekitar ke arah perdamaian.
Timbalan Jurucakap Tentera Thailand, Kolonel Weerachon Sukondhapatipak berkata, projek Kembalikan kegembiraan Kepada Rakyat adalah bertujuan untuk membolehkan setiap warganegara bersantai.
"Kami akan cuba untuk mewujudkan satu atmosfera untuk mendapatkan semula kepercayaan dan membina keyakinan," katanya.
Ketika kempen itu diadakan, doktor-doktor dari hospital tentera memberikan rawatan secara percuma dan memeriksa tekanan darah tinggi pesakit.
Satu barisan askar-askar yang lengkap dengan memakai penutup muka dan berperisai bersedia untuk bergambar selfie.
Acara tersebut telah menarik sokongan penduduk yang menyokong pihak tentera melakukan rampasan kuasa untuk menstabilkan negara ini.
Tentera merampas kuasa dengan menyingkirkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri sementara, Niwattumrong Boonsongpaisan.
Niwattumrong mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Yingluck Shinawatra meletakkan jawatan kerana disingkirkan menerusi Mahkamah Perlembagaan.
Mahkamah Perlembagaan mendapati Yingluck bersalah kerana menukar kan seorang pegawai tinggi kerajaan demi kepentingan politiknya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0608&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz33zcRXSPy 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, June 7, 2014

8 Penyakit Yang Boleh Sembuh Dengan Berjalan Kaki


Jika selama ini anda malas untuk berjalan, fikirkan kembali. Satu kajian telah membuktikan berjalan boleh mengurangkan lapan jenis penyakit dan yang paling penting adalah proses rawatan tanpa mengeluarkan wang.
Berikut 8 jenis penyakit yang boleh disembuhkan dengan berjalan :-

1. Serangan Jantung: Berjalan boleh mengurangkan risiko serangan jantung. Otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras (dari pembuluh koroner ) agar segar dan berfungsi normal mengepam darah tanpa henti.

Berjalan dengan cepat boleh mengalirkan darah ke dalam jantung. Dengan sering berjalan , kolesterol baik (HDL) yang bekerja sebagai spans penyerap kolesterol (LDL) akan meningkat dengan berjalan kaki tergopoh-gopoh.

Tidak banyak cara di luar dapat mengubati seperti ini. Berjalan dengan cepat boleh menurunkan risiko serangan jantung.

2. Stroke: Satu kajian dilakukan kepada 70 ribu pesakit di Harvard School of Public Health yang bekerja sambil berjalan kaki sebanyak 20 jam dalam seminggu, hasilnya risiko diserang stroke menurun hingga dua pertiga.

3. Membakar Lemak: Rutin berjalan kaki akan meningkatkan metabolisme tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang oleh aktiviti berjalan kaki, kelebihan kalori yang tersimpan di dalam tubuh akan ikut terbakar, kemudian kenaikan berat badan tidak terjadi.

4. Melangsingkan Badan: jika anda kelebihan berat badan, mulailah untuk rutin berjalan Pergerakan kaki hingga seluruh tubuh mampu menurunkan berat badan dan lemak yang ada terutama diperut anda akan terkikis. Lakukan berjalan kaki secara rutin selama satu jam.

5. Kanser: Gejala kanser akan lenyap dengan sendirinya jika kita rajin jalan kaki. Kanser yang dimaksudkan adalah jenis kanser usus besar (colorectal carcinoma).

Kita tahu, bergerak badan ikut melancarkan peristaltik usus, sehingga buang air besar lebih lancar. Kanser usus dicetuskan oleh najis tertahan lama dalam saluran pencernaan. Sementara dalam satu kajian lain, berjalan boleh menurunkan risiko terkena kanser payudara.

6. Mencegah Osteoporosis: Sering berjalan bukan hanya menyebabkan otot-otot badan menjadi sihat, rangka atau tulang di dalam tubuh anda juga akan menjadi sihat dan kuat.

Osteoporosis tidak cukup hanya dengan rutin mengambil vitamin D dan kalsium yang banyak, tubuh juga memerlukan gerak badan dan memerlukan waktu paling kurang 15 minit dibawah sinar matahari pagi dan anda akan terhindar dari osteoporosis.

7. Mencegah Kencing Manis: Dengan rutin berjalan kira-kira 6 km per jam, dalam tempuh sekitar 50 minit, mampu mencegah berkembangnya diabetes, khususnya pada mereka yang bertubuh gemuk (National Institute of Diabetes and Gigesive & Kidney Diseases).

Selagi gula darah boleh dikawal hanya dengan cara bergerak badan (brisk walking), ubat tidak diperlukan. Anda hanya memerlukan berjalan secara rutin untuk terus menjaga kesihatan badan dan terhindar dari diabetes.

8. Depresi: Berjalan kaki dengan cepat boleh menggantikan ubat anti depresan yang biasanya diminum secara rutin oleh pesakit depresi. Mulai sekarang, rajinlah berjalan kaki akan menyembuhkan pesakit yang tengah depresi.SUMBER

Segi Astana: Caj parking RM46 sehari berpatutan

KLIA2
KUALA LUMPUR - Pihak pengurusan tempat letak kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Segi Astana Sdn Bhd, tidak berhasrat untuk menurunkan kadar bayaran meletak kereta dalam masa terdekat memandangkan tempoh operasinya masih baru.

Pengurusnya, Vincent Chong berkata kadar bayaran tersebut sememangnya berpatutan dengan perkhidmatan yang ditawarkan pihaknya berbanding caj yang dikenakan di tempat meletak kereta Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) sebelum ini.

"Kadar bayaran meletak kereta di klia2 dan LCCT masing-masing adalah RM46 dan RM40.50 sehari. Jika hendak dibandingkan dengan kadar bayaran di kedua-dua tempat, perbezaan kosnya sangat minimal.

"Ini disebabkan pihak kami juga telah meningkatkan pelbagai kemudahan seperti kawalan sekuriti 24 jam, tempat meletak kereta berbumbung dan berpagar, 'servis buggy', dan ruangan kapasiti sebanyak 5,690 petak tempat meletak kereta disediakan untuk keselesaan para pengunjung," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kata Chong, tempat meletak kereta lapan tingkat itu sentiasa penuh pada setiap hujung minggu serta cuti umum dan ini membuktikan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung.

"Bagaimanapun, pihak kami akan terus mendapatkan maklum balas daripada pengunjung untuk melakukan penambahbaikan pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Azmi Murad berkata tempat meletak kereta alternatif disediakan bagi mereka yang mahukan kadar bayaran lebih rendah iaitu di Long-term Car Park (LTCP) yang terletak di Jalan KLIA1.

"Terdapat 6,000 petak dengan kadar bayaran sebanyak RM2.50 bagi setiap jam atau RM32 untuk satu hari.

"Namun, pengunjung perlu menaiki bas ulang-alik yang disediakan secara percuma pada setiap 15 minit untuk ke terminal kerana jarak perjalanannya agakjauh iaitu kira-kira 7 kilometer dari LTCP," katanya kepada Bernama. - Bernama

Jimmy Shanley, Mariam Jamilah selamat bernikah


07/06/2014 6:24pm

SHAH ALAM - Dengan sekali lafaz, pengacara popular Jimmy Shanley dan pasangannya Mariam Jamilah Abdul Jalil selamat diijab kabul pada pukul 6.23 petang tadi di Hotel Concorde di sini.
Jimmy, 34, dan Mariam, 27, dinikahkan oleh bapa Mariam, Abdul Jalil Othman dengan wang hantaran RM15,000 dan mas kahwin RM1,000.
Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh menerima tujuh dulang hantaran berupa sepasang kasut, sireh junjung, jubah, jam tangan, kemeja, set kelengkapan lelaki dan buah-buahan.
Sementara itu, Mariam menerima lima hantaran iaitu sebentuk cincin dan mas kahwin, sireh junjung, tas tangan, telefon dan kaca mata serta wangian.
Majlis resepsi pasangan mempelai itu berlangsung di hotel yang sama pada sebelah malam bertemakan warna hijau dan ungu.
Jimmy pernah mendirikan rumah tangga dengan Nursuhaila Eliani Suhaimi pada 1 Oktober 2010 dan bercerai pada 10 Oktober 2012.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Zahrah Rania Shanley, 3 tahun. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_13.htm#ixzz33xfuNCsW 
Hakcipta terpelihara 

MH370: Keluarga tawar ganjaran US$3 juta

MH370
SHAH ALAM – Keluarga dan waris penumpang MH370 dari beberapa negara menawarkan ganjaran sebanyak US$3 juta (RM9.6 juta) kepada mana-mana individu atau pihak yang mempunyai maklumat penting yang membawa kepada penemuan MH370.

Sejak Isnin lalu, beberapa negara yang terlibat melancarkan kempen "Reward MH370: The Search for the Truth" bagi mengutip dana untuk dijadikan ganjaran kepada pemberi maklumat tentang kehilangan pesawat MH370.

Seperti yang dilaporkan melalui Astro Awani, antara beberapa negara yang terlibat dalam kutipan dana tersebut ialah dari Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Perancis dan India.

Kempen tersebut dilancarkan berikutan dengan ketidakpuasan hati para keluarga penumpang MH370 yang tidak diberikan maklumat lengkap dan bukti yang kukuh tentang kehilangan pesawat MAS terbabit.

Daripada jumlah itu, US$3 juta (RM9.6 juta) akan menjadi ganjaran kepada pemberi maklumat tentang kehilangan pesawat itu.

Baki US$2 juta (RM6.4 juta) adalah untuk membiayai penyiasat persendirian yang dapat memberikan maklumat baharu.

Menurut salah seorang waris penumpang, Sarah Bajc, dia yakin bahawa ada pihak atau indidvidu sedang menyembunyikan maklumat penting mengenai kehilangan pesawat terbabit.

"Kami mengambil inisiatif sendiri. Jika terdapat bukti bahawa pesawat itu terhempas di dalam air, atau kusyen tempat duduk, saya akan mengambil pendekatan yang  berbeza. Tetapi  tiada apa-apa ditemui.

"Tiada kepastian di sini, tetapi kami percaya bahawa kami perlu mencuba sesuatu, jika kita hanya duduk dan membiarkan misi pencarian ini diteruskan, saya fikir ianya tidak akan selesai," katanya menerusi akhbar USA Today.

Setakat ini, jumlah yang disasarkan untuk dikutip ialah US$5 juta (RM16 juta) melalui laman web Indiegogo.

Pemimpin antirampasan kuasa ditahan junta tentera


  • Tentera cuba untuk memenangi hati rakyat menerusi acara hiburan yang dianjurkan oleh mereka. Gambar kecil: Sombat.Tentera cuba untuk memenangi hati rakyat menerusi acara hiburan yang dianjurkan oleh mereka. Gambar kecil: Sombat.

BANGKOK - THAILAND. Junta tentera, semalam mengesahkan mereka telah menahan pemimpin antirampasan kuasa paling dikehendaki di Thailand.

Sombat Boonngamanong yang menjadi pencetus kempen dalam talian untuk mengadakan perhimpunan membantah rampasan kuasa oleh tentera diberkas, lewat kelmarin di timur wilayah Chonburi.

Jurucakap tentera, Sirichan Ngathong berkata, mereka berjaya mengesan jejak Sombat menerusi internet.

"Aktivis terkenal tersebut boleh didakwa kerana gagal menghadirkan diri ketika dipanggil junta tentera kira-kira dua minggu lalu," katanya kepada AFP.

Difahamkan, Sombat telah memuat naik status mesej berbaur provokasi di Facebook selepas dia enggan menyerah diri pada bulan lalu.

Selain itu, pemimpin pakatan kumpulan Baju Merah itu turut menggesa penyokongnya untuk mengadakan perhimpunan secara aman sebagai membantah  pemerintahan tentera.

Dalam perkembangan lain, tentera dilihat cuba memenangi hati rakyat dengan pemberian makanan percuma dan mengadakan acara hiburan di ibu negara.

Bagaimanapun, tindakan mereka yang kononnya mahu mengembalikan kegembiraan penduduk di Bangkok telah dikecam beberapa pihak yang menyifatkan ia sebagai propaganda semata-mata.

Kerajaan sementara Thai dilantik tiga bulan lagi


BANGKOK 6 Jun - Ketua kerajaan junta Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha memberi jaminan akan melantik perdana menteri dan Kabinet sementara dalam tempoh tiga bulan akan datang, semasa mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan dari China.
Prayuth bagaimanapun tidak memberi maklumat lanjut dan bagaimana proses pemilihan keanggotaan Kabinet sementara itu,
Portal berita, The Nation melaporkan, Prayuth berkata, usahawan China diminta bekerjasama dengan Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional (NCPO) supaya mengetepikan konflik kepentingan dan rasuah bagi menurunkan harga barang dan kos projek-projek pembinaan.
Beliau berkata, NCPO turut menyokong perdagangan bebas dan persaingan adil dalam kalangan ahli perniagaan dengan ahli perniagaan China diminta memindahkan teknologi mereka kepada rakan mereka di Thailand.
Pada masa sama, Prayuth menggesa ahli perniagaan China memberitahu pelancong dari negara itu bahawa perintah berkurung tidak memberi kesan kepada penduduk atau pelancong.
Dalam perkembangan berasing­an, kerajaan junta Thailand menahan seorang pemimpin antirampasan kuasa yang hidup dalam pelarian apabila dia menghadapi hukuman penjara ketika pentadbiran tentera itu berusaha menghapuskan kritikan terhadap tindakan tentera merampas kuasa.
Jurucakap tentera, Sirichan Ngathong berkata, Sombat Boonngama­nong yang mengetuai kempen dalam talian supaya rakyat Thailand mengadakan tunjuk perasaan menentang tindakan tentera itu ditahan di malam tadi di wilayah timur Chonburi.
"Kami mempunyai sebuah pasukan yang berjaya menjejaki Sombat menerusi Internet.
"Dia berdepan tuduhan awal melibatkan mengingkari arahan untuk melaporkan diri kepada kerajaan junta," katanya.
Sombat merupakan satu daripada ratusan orang termasuk ahli politik, aktivis, ahli akademik, wartawan yang perlu melapor diri kepada junta ekoran rampasan kuasa pada 22 Mei lalu. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140607/lu_04/Kerajaan-sementara-Thai-dilantik-tiga-bulan-lagi#ixzz33vgOff2y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gadis pakai ala tentera pujuk hati rakyat Thailand


BANGKOK 7 Jun - Beberapa wanita cantik telah diarahkan junta tentera Thailand untuk memakai pakaian ala tentera yang menarik dan meminta mereka menyanyi, menari dan tabik kepada orang ramai bagi memenangi hati dan minda rakyat ekoran rampasan kuasa yang mencetus kontroversi sebelum ini.
Beberapa anggota tentera wanita Thailand turut dilihat menyanyi bersama di belakang trak tentera di jalan-jalan utama Bangkok.
Inisiatif yang dilakukan ini termasuk menganjurkan beberapa parti jalanan dengan menyediakan makanan dan muzik percuma, yang mana merupakan sebahagian daripada kempen perhubungan awam oleh pemerintah baharu negara Asia Tenggara itu berikutan penggulingan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra bulan lepas. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140607/lu_01/Gadis-pakai-ala-tentera-pujuk-hati-rakyat-Thailand#ixzz33vefNf00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rancangan realiti lahir anak di hutan dikritik


LOS ANGELES 6 Jun - Rancangan realiti baharu saluran televisyen Lifetime memaparkan sebuah keluarga melahirkan bayi mereka di dalam hutan tanpa sebarang peralatan moden dan bantuan doktor, mendapat kritikan ramai pihak.
Laman web Mail Online melaporkan, orang ramai mengkritik idea tersebut yang disifatkan membahayakan nyawa ibu dan bayi yang bakal dilahirkan.
Rancangan bertajuk Born in the Wild itu akan memaparkan lelaki dan wanita yang membuat keputusan untuk melahirkan anak mereka di dalam hutan.
Lifetime berhasrat untuk menghasilkan rancangan itu selepas melihat video seorang wanita melahirkan bayinya di dalam hutan tanpa sebarang bantuan di laman perkongsian video, YouTube.
"Apa yang akan berlaku apabila seorang wanita atau ibu bapa membuat keputusan melahirkan anaknya di dalam hutan," kata Lifetime dalam satu kenyataan memperke­nalkan rancangan tersebut.
Pihak pengurusan Lifetime berharap, rancangan itu akan dapat mewujudkan trend melahirkan bayi di rumah di kalangan penduduk negara ini dan bukannya seperti kebiasaan di hospital.
"Mereka yang akan terlibat dalam rancangan ini merupakan individu yang berpengalaman dan pernah melahirkan bayi sebelum ini. Selain itu, mereka turut akan pantau oleh krew penerbitan," jelas Lifetime lagi.
Februari lalu, seorang pengguna YouTube memuat naik satu rakaman video seorang wanita melahirkan bayi di dalam hutan dengan hanya dibantu oleh ahli keluarganya sahaja.
Sejak dimuat naik, video tersebut telah ditonton oleh lebih 20 juta orang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140607/lu_08/Rancangan-realiti-lahir-anak-di-hutan-dikritik#ixzz33vdMqgWW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, June 6, 2014

Beijing sembunyi kebenaran


Agensi penapisan China semalam menafikan cubaan mengakses carian mengenai Tiananmen di Internet ketika pelbagai pihak memperingati tragedi berdarah di dataran itu 25 tahun lalu.

Berdepan tekanan daripada pihak berkuasa, rangkaian sosial China segera memadamkan sebarang carian merujuk kepada operasi ketenteraan dalam insiden itu, termasuk perkataan ‘Tiananmen’, ‘gerakan mahasiswa’, ‘6/4’ dan ‘ulang tahun ke-25.’ Ekoran kehadiran lebih 100,000 orang di majlis mengenang tragedi itu di Hong Kong malam kelmarin, senarai carian yang disekat turut diperluas, membabitkan ‘Victoria Park’ yang menjadi lokasi acara itu serta ‘Teng Biao’ (nama peguam dan aktivis yang menyampaikan kecaman kepada China di Dataran Tiananmen.

Pelayar Internet yang cuba mencari sebarang maklumat mengenai isu itu akan disambut dengan mesej menjelaskan mengapa ia tidak dibenarkan diakses - ‘Selaras dengan undang-undang serta polisi yang berkenaan.’ Sementara itu, penganjur berkata, 180,000 orang memenuhi Victoria Park di Hong Kong walaupun polis mendakwa hanya 99,500 orang hadir.



Dalam kejadian 25 tahun lalu, penunjuk perasaan prodemokrasi diserang pihak berkuasa China menyebabkan banyak kematian.

Sesetengah pihak mendakwa lebih 1,000 orang maut akibat keganasan tentera China dan isu itu kekal sensitif diperkatakan di negara komunis berkenaan.

Beijing turut mengambil langkah awal dengan menahan puluhan individu, termasuk aktivis hak asasi manusia, peguam dan wartawan sejak bulan lalu.


Seorang daripada mereka ialah peguam, Pu Zhiqiang, yang didakwa menyertai seminar membincangkan insiden Dataran Tiananmen.


Seorang penulis, Hu Shigen, dan tokoh akademik Xu Youyu dibebaskan tengah hari semalam.

Menjawab teguran AS supaya bertanggungjawab menyiasat kematian, penahanan atau kehilangan aktivis prodemokrasi, Beijing berkata, mereka tidak mempunyai alasan untuk melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

NACC siasat aset Yingluck Shinawatra


YINGLUCK
BANGKOK 5 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Thailand (NACC), hari ini memulakan siasatan terhadap aset bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra berhubung skim subsidi beras yang mencetuskan kemarahan di negara ini.
Menurut badan tersebut, selain Yingluck, dua orang bekas menteri perdagangan dan timbalan mereka turut disiasat.
"NACC telah bersetuju mewujudkan satu jawatankuasa kecil untuk menyiasat aset pemimpin-pemimpin terlibat dalam skim subsidi beras di bawah pemerintahan Yingluck," kata badan itu dalam satu kenyataan.
Pada 9 Mei lalu, bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah kerana cuai menguruskan skim tersebut yang didakwa menyababkan rasuah berleluasa. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140606/lu_08/NACC-siasat-aset-Yingluck-Shinawatra#ixzz33oOCAd99
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Junta Thailand singkirkan pemimpin proThaksin


Bekas Menteri Pendidikan, Chaturon Chaisaeng merupakan antara pemimpin proThaksin yang ditahan pada akhir Mei lalu selepas menentang rampasan kuasa oleh tentera Thailand. - AGENSI
BANGKOK 5 Jun - Kerajaan junta Thailand melakukan rombakan sistematik bagi meminggirkan pegawai-pegawai kerajaan yang dilihat menyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, tindakan dilihat sebagai usaha untuk mematahkan sokongan dan memastikan beliau tidak kembali berkuasa di negara ini.
Menurut Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional (NCPO), gabenor-gabenor di 13 wilayah terutama di utara dan timur laut negara ini yang proThaksin, telah dipindahkan.
Kerajaan junta turut menstrukturkan semula pasukan polis yang dilihat sebagai penyokong Thaksin dan adiknya, Yingluck Shinawatra.
Berdasarkan dokumen NCPO yang dilihat oleh Reuters, sekurang-kurangnya 17 pegawai kanan polis telah dipindahkan sejak minggu lalu.
Thaksin yang merupakan bekas pegawai polis, digulingkan pada 2006, menyaksikan Perlembagaan digubal di bawah kerajaan disokong tentera dalam usaha mengehadkan pengaruh politiknya, namun Yingluck pula menjadi Perdana Menteri selepas menang dalam pilihan raya umum pada 2011.
Kerajaan junta kali ini dilihat mahu memastikan Thaksin atau ahli keluarganya tidak kembali menguasai arena politik negara ini.
Tentera telah menahan sejumlah pemimpin dari parti politik yang bertelagah, namun dilihat lebih ramai penyokong Thaksin ditahan dalam tindakan tersebut.
Kerajaan junta juga mendapatkan pinjaman sebanyak 1.5 bilion baht (RM150,000) untuk membuat pembayaran kepada petani dalam usaha mendekati penyokong Thaksin di kawasan pedalaman. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140606/lu_04/Junta-Thailand-singkirkan-pemimpin-proThaksin#ixzz33oNqViwu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penutupan pusat seks di Surabaya dibantah


SEBAHAGIAN pekerja seks yang menyertai tunjuk perasaan di kawasan pelacuran Dolly di Surabaya semalam.- AFP


SURABAYA - Lebih 1,000 orang pekerja seks di sini mengadakan tunjuk perasaan semalam bagi membantah rancangan pemerintah untuk menutup sebuah kawasan pelacuran yang merupakan antara yang terbesar di Asia Tenggara.
Kawasan pelacuran itu yang dikenali sebagai daerah Dolly tidak pernah diganggu oleh pihak berkuasa sejak beberapa dekad lalu.
Bandar raya ini merupakan kota metropolitan kedua terbesar di Indonesia.
Namun, Datuk Bandar Surabaya, Tri Rismaharini berikrar akan menutup lokasi tersebut menjelang 18 Jun ini.
Nama Dolly berasal daripada seorang ibu ayam warga Belanda yang menguruskan sebuah rumah pelacuran di lokasi itu semasa pemerintahan penjajah di Indonesia.
Bagaimanapun, ramai wanita yang bekerja di daerah Dolly memberitahu, mereka akan hilang mata pencarian jika lokasi tersebut ditutup.
Seorang wartawan agensi berita AFP yang berada di lokasi kejadian semalam berkata, kira-kira 1,200 pekerja seks berarak di sepanjang daerah tersebut.
Mereka kemudian menulis surat bantahan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia.
"Wanita-wanita itu tiada pilihan kecuali bekerja sebagai pelacur untuk menyara diri sendiri dan keluarga masing-masing," kata seorang aktivis tempatan, Anisa.
"Mereka tidak dapat mencari pekerjaan lain kerana kurang kemahiran dan berpelajaran rendah. Mereka tiada pilihan tetapi bekerja di sini," tambahnya.
Tri sebelum ini berjanji memberikan bantuan kewangan kepada pekerja-pekerja seks tersebut apabila pusat pelacuran tersebut ditutup.
Beliau juga berkata, pihak berkuasa tempatan juga berjanji akan mengajar kemahiran baharu seperti menghasilkan kraftangan kepada mereka. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz33nwnktih 
Hakcipta terpelihara